PENGKALAN CHEPA: Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu para pelajar pra-sekolah termasuk di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menjadikan lagu nasyid 'Sepohon Kayu' sebagai lagu wajib.
Nasyid yang dipopularkan semula oleh kumpulan Saujana itu wajar dikembangkan di peringkat pra-sekolah lagi sebagai usaha mendidik mereka supaya rajin sembahyang.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Emas Cakno 2007, anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri, yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), 8 Disember lalu.
Menurutnya, lirik nasyid tersebut yang mempunyai mesej menarik dapat membantu kanak-kanak rajin menunaikan tanggungjawab itu (solat) terutama apabila mereka dewasa.
"Saya memang tak pandai bernasyid tetapi lirik nasyid itu memang bagus.. 'walaupun hidup seribu tahun kalau tak sembahyang apa gunanya'" ujar Tuan Guru sambil memetik lirik nasyid itu.
Beliau menjelaskan, dengan menunaikan solat yang betul serta cukup lima waktu, akan menyekat manusia dari melakukan perbuatan yang keji dan bertentangan dengan Islam.
"Perkara ini yang perlu kita bawa pada masyarakat, apabila masyarakat beriman, maka amanlah negeri dan negara, sebaliknya sekiranya masyarakat porak-poranda, begitulah keadaan negara" ujarnya lagi.
Sumber:
Harakah Bil. 1349 (16-31 Disember 2007) halaman 15 (Fikrah Harakah).
Komen saya:
Nasyid memang perlu diterapkan dalam proses pengajaran dan pendidikan sebagai salah satu elemen seni yang penting iaitu elemen muzik dan bunyi bagi mempelbagaikan kaedah dan menghidupkan suasana pembelajaran agar tidak membosankan, terutamanya kepada kanak-kanak.
Manakala kita sebagai umat Islam hanya perlu memilih lagu yang mempunyai unsur dan mesej yang positif sahaja dalam proses pendidikan. Walau bagaimanapun, realiti pada hari ini kita dapat lihat, lagu nasyid masih belum mendapat tempat yang utama di sekolah. Lebih mengecewakan, apabila di kalangan pendidik muslim sendiri yang mempromosikan lagu-lagu yang bertentangan dengan kehendak Islam di sekolah dalam pelbagai program seperti konsert, persembahan kumpulan, senam robik, karaoke, acara sukan dan sebagainya.
Bagi saya, lagu 'Sepohon Kayu' boleh dikategorikan sebagai LAGU WAJIB HAFAL bagi setiap murid. Untuk program j-QAF melalui aktiviti Kem Bestari Solat, lagu ini boleh diperdengarkan dan dinyanyikan bersama-sama oleh para guru dan murid.
Album : Saujana
Munsyid : Saujana
Sepohon kayu daunnya rimbun...
lebat bunganya serta buahnya
walaupun hidup 1000 tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya
walaupun hidup 1000 tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya
kami berkerja sehari-hari
untuk belanja rumah sendiri
walaupun hidup 1000 tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya
walaupun hidup 1000 tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya
kami sembahyang fardhu sembahyang
sunat berada bukan sembarang
supaya Allah menjadi sayang
kami bekerja hatilah riang
supaya Allah menjadi sayang
kami bekerja hatilah riang
(ulang chorus)
kami sembahyang limalah waktu
siang dan malam sudahlah tentu
hidup di kubur yatim piatu
tinggallah seorang dipukul di palu
hidup di kubur yatim piatu
tinggallah seorang dipukul di palu
dipukul di palu sehari-hari
barulah dia sedarkan diri
hidup di dunia tiada bererti
akhirat di sana sangatlah rugi
hidup di dunia tiada bererti
akhirat di sana sangatlah rugi
(ulang chorus)