Saturday, December 27, 2008

Beberapa isu Program j-QAF

Berikut adalah beberapa isu semasa terpilih berkaitan Program j-QAF yang saya nukilkan dari Buku Panduan Kursus Pemantapan Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam KBSR 2008 (kursus ini telah dihadiri oleh Ketua Panitia):

1. Kurang kefahaman Model KBS berada di bawah bidang GPK Ko-Kurikulum.
PENYELESAIAN:
- JPN hendaklah memanggil semua GPK Ko-Kurikulum dan memberikan taklimat khas.
- KBS adalah bersifat Ko-Kurikulum dan di bawah bidang kuasa GPK Ko-Kurikulum. GPK Ko-Kurikulum adalah merupakan tunggak yang akan menerajui pelaksanaan KBS di sekolah masing-masing.

2. GPI dan guru j-QAF kurang jelas tentang perlaksanaan Program j-QAF bagi 6 bulan pertama Tahun 1 (Model Khatam Al-Quran Tahun 1).
PENYELESAIAN:
- GPI dan guru j-QAF hendaklah sentiasa membuat rujukan kepada buku perlaksanaan yang dibekalkan oleh BPI dari masa ke semasa terutama bila timbul masalah.
- Pada 6 bulan pertama, murid tidak akan diajar secara kelas malah diagihkan kepada kumpulan.Kaedah pengajaran dalam kumpulan adaah secara individu berdasarkan kaedah talaqqi musyafahah. Perkembangan pencapaian bacaan murid hendaklah direkodkan di dalam buku rekod pencapaian Al-Quran. Penilaian dibuat secara lisan sahaja. Sasarannya ialah bila tamat 6 bulan pertama yakni hujung Jun setiap murid akan berjaya tamat buku Iqra’ 6.

3. GPI j-QAF diberi tanggungjawab untuk memikul tugas berat selepas dilantik seperti Ketua Guru Disiplin dan Guru Kelas.
PENYELESAIAN:
- Perkara seumpama ini kurang digalakkan kerana menyempurnakan pelaksanaan Program j-QAF adalah tugas utama. Guru j-QAF juga adalah merupakan guru luar norma yang datang khusus bagi maksud tersebut.

4. Guru j-QAF juga ditugaskan untuk mengajar matapelajaran yang lain.
PENYELESAIAN:
- Perkara ini tidak dibenarkan sama sekali. GPI j-QAF adalah guru luar norma.

5. Peruntukan untuk melengkapkan bilik j-QAF tiada/tiada bilik j-QAF.
PENYELESAIAN:
- Perkara ini adalah bergantung kepada inisiatif dan kreativiti sekolah dan guru yang terlibat.

6. Terdapat GPI dan guru j-QAF yang mengajar matapelajaran Ulum secara bergilir.
PENYELESAIAN:
- Pengajaran yang dijalankan secara bergilir adalah salah dan tidak amanah serta tidak mengikuti kaedah pelaksanaan yang telah ditetapkan. Pengajaran dan pembelajaran bagi matapelajaran ini sepatutnya dijalankan secara kolaboratif.

7. Ada di antara sekolah yang mengarahkan GPI dan guru j-QAF untuk menyediakan soalan bagi ujian bulanan dan peperiksaan pertengahan Tahun 1 bagi 6 bulan pertama.
PENYELESAIAN:
- Ujian bulanan dan peperiksaan pertengahan tahun bagi matapelajaran Al-Quran 6 bulan pertama Tahun 1 hanya dijalankan secara lisan sahaja. Guru hanya perlu menyediakan soalan Jawi sahaja.

8. Masih ramai di kalangan GPI dan guru j-QAF yang tidak memahami bagaimana untuk memberikan pemarkahan matapelajaran Pendidikan Islam yang mengikuti Program j-QAF Tahun 2 (6 bulan pertama).
PENYELESAIAN:
- Untuk pemarkahan peperiksaan pertengahan tahun, markah diambil hasil daripada campuran markah Al-Quran, Jawi dan Ulum. Untuk matapelajaran Al-Quran, markah adalah berdasarkan kepada pemarkahan Model Khatam Al-Quran iaitu jumlah ayat (60 markah) dan kualiti bacaan (40 markah).

9. Baca Ikut Guru (BIG) dilaksanakan untuk sepanjang tempoh 60 minit P&P berlaku.
PENYELESAIAN:
- BIG diwujudkan untuk membantu murid lemah (jika ada) dan proses P&Pnya hanya berlaku dalam sekitar 20 minit sahaja mengikut sukatan pada hari itu. Masa yang selebihnya dimanfaatkan untuk membantu murid yang tercicir. Sepatutnya dengan adanya Program j-QAF tiada lagi murid yang tercicir.

10. Tiada keselarasan masa dan jumlah waktu mengajar tasmik di antara negeri.
PENYELESAIAN:
- Ia bergantung kepada kesesuaian sekolah dan pemberatan jadual waktu.

11. Kekeliruan sama ada Tasmik perlu atau tidak penulisan RPH.
PENYELESAIAN:
- Guru tidak perlu membuat RPH lengkap tetapi membuat catatan ringkas tentang keas dan ayat yang diajar pada hari itu. Membuat RPH pun bukanlah satu kesalahan.

12. GPI dan GPI j-QAF kurang jelas sukatan Tasmik Al-Quran Tahun 1 (Januari – November).
PENYELESAIAN:
- Tahun 1 setelah tamat Iqra’ disambung dengan Surah Al-Baqarah dan pada hujung November semua murid secara minima telah membaca Surah Al-Baqarah ayat 126 dengan baik dan lancar.

Ada beberapa isu dan perkara lain lagi yang dibincangkan dalam buku ini tetapi saya tidak mencatatkannya di sini kerana yang lain-lain tu lebih kepada aspek KOMUNIKASI DAN SIKAP antara pihak pentadbir, GPI dan GPI j-QAF.

Bagi menjayakan suatu visi, misi dan agenda pendidikan yang murni seperti Program j-QAF ini, tidak sepatutnya berlaku kesilapan komunikasi dan sikap negatif (yang malu untuk saya catatkannya di sini) antara semua pihak yang terlibat.

Semua pihak perlu bersatu hati dan bekerjasama dalam mempermudahkan dan mempercepatkan proses memperkasakan Pendidikan Islam di sekolah, bukan membantutkan dan memandulkannya.

0 komen: