Tuesday, December 30, 2008

Qunut Nazilah untuk saudaraku di Palestin

Ia dinamakan Qunut Nazilah kerana ia disyariatkan untuk dibaca ketika umat Islam ditimpa sebarang bencana dan musibah seperti peperangan, bencana alam dan wabak penyakit.

Ia disunatkan untuk dibaca semasa I’tidal pada rakaat terakhir setiap solat fardhu lima waktu, bukan hanya pada Solat Subuh sahaja. Ini adalah berdasarkan sunnah Nabi SAW, antaranya:

1- Daripada Ibnu Abbas RA, bahawasanya beliau berkata: Rasulullah SAW telah berqunut selama sebulan berturut-turut dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu pada rakaat terakhir ketika I’tidal selepas mengucapkan “Samiallahu liman hamidah”. Baginda mendoakan kemusnahan Bani Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, manakala para makmum di belakang baginda mengaminkan doa itu.
(Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud)

2- Daripada Abu Hurairah RA berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu ketika apabila mengucapkan “Samiallahu liman hamidah” pada rakaat terakhir Solat Isyak, baginda berqunut: “Ya Allah, selamatkanlah Ayyash bin Abi Rabiah, Ya Allah, selamatkanlah Al-Walid bin Al-Walid, Ya Allah, selamatkanlah Salamah bin Hisham, Ya Allah, selamatkanlah kaum yang lemah dan tertindas di kalangan orang-orang mukmin”.
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, doa ini juga boleh dibaca di luar solat (sama ada dalam Bahasa Arab atau bahasa ibunda) seperti doa-doa yang lain.

Berikut adalah contoh Doa Qunut Nazilah untuk saudara kita di Palestin:

اللَّّهُمَّ انْصُرْ اِخْوَانَ الْمُسْلِمِيْنَ فِيْ فَلَسْطِيْن، اللّهُمَّ سَدِّدْ رَمْيَتَهُمْ وَقَوِّ شَوْكَتَهُمْ وَاجْمَعْ عَلَى الْحَقِّ كَلِمَتَهُمْ، اللّهُمَّ افْتَحْ لَهُمْ فَتْحاً مُبِيْنَا، وَاهْدِهِمْ صِرَاطاً مُسْتَقِيْماً وَانْصُرْهُمْ نَصْرًا عَزِيْزاً
“Ya Allah, bantulah saudara muslimin di Palestin (3x), Ya Allah, tepatkanlah lontaran mereka, kuatkanlah senjata mereka dan satukanlah mereka di atas kebenaran, Ya Allah, bukakanlah untuk mereka (kebenaran) yang nyata, tunjukkanlah mereka jalan yang lurus dan bantulah mereka dengan bantuan yang hebat”


اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالصَّهَايِنَةِ الْمُعْتَدِّيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرْنَا عَلَى الْيَهُوْدِ الْمُغْتَصِبِيْنَ الْمُعْتَدِّيْنَ، وَانْصُرْنَا عَلَى جَمِيْعِ أَعْدَائِكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنَ
“Ya Allah, musnahkanlah Zionis yang memusuhi kami, Ya Allah, bantulah kami ke atas orang-orang kafir, Ya Allah, bantulah kami ke atas Yahudi yang mencabul dan memusuhi kami, dan bantulah kami ke atas segala musuhMu yang merupakan musuh agama”


اللّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِ أَعْدَائِنَا، ونَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ، اللّهُمَّ يَامُنْزِلَ الكِتَابِ، وَيَامُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَاهَازِمَ الأَحْزَابِ، اِهْزِمِ الْيَهُوْدَ الْغَاصِبِيْنَ الْمُحْتَلِّيْنَ، وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ وَزَلْزِلْهُمْ
“Ya Allah, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.Ya Allah, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyangkanlah mereka”

اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَخَالِفْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكَ يَا قَهَّار، يَاجَبَّارَ وَيَا مُنْتَقِمَ , اللّهُمَّ أَنْزِلْ بِهِمْ بَأْسَكَ الَّذِيْ لاَ يُرَدُّ عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِيْنَ
“Ya Allah, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan mereka), pecah belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhanMu, wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam, Ya Allah, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan daripadaMu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa”

Monday, December 29, 2008

Hijrah 1430H: Hidup Berkat, Jauhi Riba

Rasulullah SAW telah berkata:
"Akan datang kepada manusia satu masa, orang ramai sudah tidak peduli dari mana sumber harta mereka, adakah dari sumber yang halal atau haram?"
(Direkodkan oleh Imam Bukhari)

Petang semalam saya telah berjumpa dengan sahabat baik sejak sekolah dulu yang juga seorang ejen Takaful Ikhlas untuk mengambil polisi takaful anak ketiga saya (yang baru lahir hari tu) yang sudah siap. Dua bulan lepas, saya telah memperbaharui takaful kereta saya dengan Takaful Ikhlas juga. Saya bersyukur kepada Allah -dengan hidayah dan taufikNya- sambil tersenyum dan lega setiap kali saya membuat urusan kewangan yang bebas riba.

Segala insuran peribadi saya, isteri dan anak-anak dilindungi dengan Maybank Takaful dan Takaful Ikhlas. Bahkan, pembelajaran anak-anak saya di Tadika Amal juga dilindungi oleh takaful.

Segala pendapatan dan pelaburan saya dan isteri adalah melalui Akaun Wadiah Maybank, BSN, Bank Rakyat dan Tabung Haji.

Pembiayaan (bukan Pinjaman) rumah kediaman kami adalah melalui Skim Pembiayaan Perumahan Islam (SPPI) yang dilindungi oleh Takaful Ikhlas, salah satu panel takaful di Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia.

Pembiayaan (bukan Pinjaman) kereta kami pula adalah melalui Maybank Islamic yang juga dilindungi oleh Takaful Ikhlas.

Zakat Fitrah dan Zakat Pendapatan pula dibayar secara tunai setiap tahun atau melalui potongan gaji.

Apabila tiba tahun baru Hijrah ke apa, masing-masing sibuk ingin muhasabah diri dan membuat azam baru. Orang selalu ingat untuk mengubah sikap dari yang buruk kepada yang baik, yang sudah baik kepada yang lebih baik. Tetapi, ramai juga orang kita yang lupa untuk memastikan status kewangannya sentiasa halal dan baik serta bebas dari riba yang haram.

Mereka selalu ingat dan tidak lupa untuk berhijrah dari sikap yang buruk kepada sikap yang baik. Tetapi, mereka selalu lupa dan tidak ingat untuk berhijrah dari sistem kewangan riba kepada sistem kewangan Islam.

Lebih dahsyat lagi, apabila golongan 'pejuang Islam', agamawan, ustaz dan ustazah pun ada yang buat-buat tak faham (padahal mereka belajar dan tahu) dan tak selesai lagi bab ini. Bukan main lagi dia menasihatkan itu dan ini kepada orang, tetapi apabila ditanya tentang kewangannya, rupa-rupanya dia terlibat dengan riba!

Jadi, sempena tahun baru Hijrah 1430H kali ini, ucapan dan seruan saya ialah: "Hidup Berkat, Jauhi Riba".

Seruan ini tiada kena-mengena dengan status saya sebagai seorang bekas pegawai Syariah di Takaful Ikhlas, tetapi ia adalah tanggungjawab IKHLAS saya sebagai ustaz, pendidik dan pendakwah bagi mengajak orang lain ke arah KEBERKATAN dunia dan akhiratnya.

Saturday, December 27, 2008

Beberapa isu Program j-QAF

Berikut adalah beberapa isu semasa terpilih berkaitan Program j-QAF yang saya nukilkan dari Buku Panduan Kursus Pemantapan Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam KBSR 2008 (kursus ini telah dihadiri oleh Ketua Panitia):

1. Kurang kefahaman Model KBS berada di bawah bidang GPK Ko-Kurikulum.
PENYELESAIAN:
- JPN hendaklah memanggil semua GPK Ko-Kurikulum dan memberikan taklimat khas.
- KBS adalah bersifat Ko-Kurikulum dan di bawah bidang kuasa GPK Ko-Kurikulum. GPK Ko-Kurikulum adalah merupakan tunggak yang akan menerajui pelaksanaan KBS di sekolah masing-masing.

2. GPI dan guru j-QAF kurang jelas tentang perlaksanaan Program j-QAF bagi 6 bulan pertama Tahun 1 (Model Khatam Al-Quran Tahun 1).
PENYELESAIAN:
- GPI dan guru j-QAF hendaklah sentiasa membuat rujukan kepada buku perlaksanaan yang dibekalkan oleh BPI dari masa ke semasa terutama bila timbul masalah.
- Pada 6 bulan pertama, murid tidak akan diajar secara kelas malah diagihkan kepada kumpulan.Kaedah pengajaran dalam kumpulan adaah secara individu berdasarkan kaedah talaqqi musyafahah. Perkembangan pencapaian bacaan murid hendaklah direkodkan di dalam buku rekod pencapaian Al-Quran. Penilaian dibuat secara lisan sahaja. Sasarannya ialah bila tamat 6 bulan pertama yakni hujung Jun setiap murid akan berjaya tamat buku Iqra’ 6.

3. GPI j-QAF diberi tanggungjawab untuk memikul tugas berat selepas dilantik seperti Ketua Guru Disiplin dan Guru Kelas.
PENYELESAIAN:
- Perkara seumpama ini kurang digalakkan kerana menyempurnakan pelaksanaan Program j-QAF adalah tugas utama. Guru j-QAF juga adalah merupakan guru luar norma yang datang khusus bagi maksud tersebut.

4. Guru j-QAF juga ditugaskan untuk mengajar matapelajaran yang lain.
PENYELESAIAN:
- Perkara ini tidak dibenarkan sama sekali. GPI j-QAF adalah guru luar norma.

5. Peruntukan untuk melengkapkan bilik j-QAF tiada/tiada bilik j-QAF.
PENYELESAIAN:
- Perkara ini adalah bergantung kepada inisiatif dan kreativiti sekolah dan guru yang terlibat.

6. Terdapat GPI dan guru j-QAF yang mengajar matapelajaran Ulum secara bergilir.
PENYELESAIAN:
- Pengajaran yang dijalankan secara bergilir adalah salah dan tidak amanah serta tidak mengikuti kaedah pelaksanaan yang telah ditetapkan. Pengajaran dan pembelajaran bagi matapelajaran ini sepatutnya dijalankan secara kolaboratif.

7. Ada di antara sekolah yang mengarahkan GPI dan guru j-QAF untuk menyediakan soalan bagi ujian bulanan dan peperiksaan pertengahan Tahun 1 bagi 6 bulan pertama.
PENYELESAIAN:
- Ujian bulanan dan peperiksaan pertengahan tahun bagi matapelajaran Al-Quran 6 bulan pertama Tahun 1 hanya dijalankan secara lisan sahaja. Guru hanya perlu menyediakan soalan Jawi sahaja.

8. Masih ramai di kalangan GPI dan guru j-QAF yang tidak memahami bagaimana untuk memberikan pemarkahan matapelajaran Pendidikan Islam yang mengikuti Program j-QAF Tahun 2 (6 bulan pertama).
PENYELESAIAN:
- Untuk pemarkahan peperiksaan pertengahan tahun, markah diambil hasil daripada campuran markah Al-Quran, Jawi dan Ulum. Untuk matapelajaran Al-Quran, markah adalah berdasarkan kepada pemarkahan Model Khatam Al-Quran iaitu jumlah ayat (60 markah) dan kualiti bacaan (40 markah).

9. Baca Ikut Guru (BIG) dilaksanakan untuk sepanjang tempoh 60 minit P&P berlaku.
PENYELESAIAN:
- BIG diwujudkan untuk membantu murid lemah (jika ada) dan proses P&Pnya hanya berlaku dalam sekitar 20 minit sahaja mengikut sukatan pada hari itu. Masa yang selebihnya dimanfaatkan untuk membantu murid yang tercicir. Sepatutnya dengan adanya Program j-QAF tiada lagi murid yang tercicir.

10. Tiada keselarasan masa dan jumlah waktu mengajar tasmik di antara negeri.
PENYELESAIAN:
- Ia bergantung kepada kesesuaian sekolah dan pemberatan jadual waktu.

11. Kekeliruan sama ada Tasmik perlu atau tidak penulisan RPH.
PENYELESAIAN:
- Guru tidak perlu membuat RPH lengkap tetapi membuat catatan ringkas tentang keas dan ayat yang diajar pada hari itu. Membuat RPH pun bukanlah satu kesalahan.

12. GPI dan GPI j-QAF kurang jelas sukatan Tasmik Al-Quran Tahun 1 (Januari – November).
PENYELESAIAN:
- Tahun 1 setelah tamat Iqra’ disambung dengan Surah Al-Baqarah dan pada hujung November semua murid secara minima telah membaca Surah Al-Baqarah ayat 126 dengan baik dan lancar.

Ada beberapa isu dan perkara lain lagi yang dibincangkan dalam buku ini tetapi saya tidak mencatatkannya di sini kerana yang lain-lain tu lebih kepada aspek KOMUNIKASI DAN SIKAP antara pihak pentadbir, GPI dan GPI j-QAF.

Bagi menjayakan suatu visi, misi dan agenda pendidikan yang murni seperti Program j-QAF ini, tidak sepatutnya berlaku kesilapan komunikasi dan sikap negatif (yang malu untuk saya catatkannya di sini) antara semua pihak yang terlibat.

Semua pihak perlu bersatu hati dan bekerjasama dalam mempermudahkan dan mempercepatkan proses memperkasakan Pendidikan Islam di sekolah, bukan membantutkan dan memandulkannya.

Wednesday, December 24, 2008

Saya Yang Menurut Perintah

Hari ni baru selesai 3 mesyuarat dalam masa 3 hari sejak Isnin lepas. Saya tak pasti sekolah lain buat macam mana, tapi sekolah saya ni memang dari dulu buat stail macam ni. Mesyuarat persediaan sebelum buka sesi persekolahan baru memang dibuat selama 3 hari, walaupun setiap mesyuarat itu hanya mengambil masa 1-2 jam sahaja.

Pada hari pertama diadakan mesyuarat atau taklimat persediaan umum daripada Guru Besar dan GPK Pentadbiran. Guru Besar telah menyampaikan beberapa amanat penting terutamanya yang berkaitan dengan maklumat terkini daripada pihak KPM, JPS dan PPD dan isu semasa pendidikan. GPK pula mengumumkan nama guru kelas, guru matapelajaran dan ketua panitia masing-masing. Setiap guru pula mengambil Buku Rekod P&P bagi sesi persekolahan 2009 yang baru.

Hari kedua adalah untuk mesyuarat Kurikulum dan GPK meminta setiap panitia mengadakan mesyuarat pertama khususnya yang berkaitan dengan beberapa persediaan yang memerlukan tindakan segera pada awal bulan Januari nanti. Panitia Agama Islam menerima seorang ustazah GPI yang baru (tapi veteren) menggantikan ustazah yang telah bertukar ke negeri Kedah. Saya pula masih dikekalkan jawatan sebagai Setiausaha Panitia (menang tanpa bertanding).

Hari ketiga pula diadakan mesyuarat Ko-Kurikulum dan Hal Ehwal Murid (HEM). Kedua-dua GPK juga mengumumkan nama-nama guru bagi setiap unit HEM, kelab/persatuan, unit beruniform, rumah sukan dan kelab permainan. Yang penting, permintaan saya kepada arwah GPK HEM dulu ditunaikan oleh pemangku beliau juga. Jadi, tahun depan saya tidak lagi mengetuai Badan Disiplin supaya dapat fokus pada menjayakan agenda j-QAF di sekolah.

Ringkasnya, berikut adalah jawatan dan tugas utama saya sepanjang sesi 2009 nanti:

1) Kurikulum:
- Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab (Tahun 4 dan 5)
- Setiausaha Panitia Agama Islam
- Penyelaras Tahun 4

2) Hal Ehwal Murid:
- Setiausaha Badan Disiplin dan Pengawas Sekolah
- AJK Unit Bimbingan dan Kaunseling
- AJK Skim Pinjaman Buku Teks

3) Ko-Kurikulum:
- Guru Penasihat Kelab Bimbingan dan Kaunseling
- Ketua Guru Penasihat Pasukan Pengakap
- Ketua Guru Penasihat Rumah Hijau

Apabila pihak pentadbir sekolah telah melantik para guru untuk membantu mereka menjayakan agenda pendidikan dan melicinkan pengurusan pentadbiran di sekolah, maka seharusnya para guru bersikap positif dan berlapang dada dengan menerima segala arahan bagi meningkatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman sebagai seorang pendidik.

Berdasarkan motto dan slogan: "Saya yang menurut perintah" (selagi tak melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya), mari kita cuba buat yang terbaik dalam melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab pendidikan untuk murid kita, sebagai suatu ibadah kepada dan kerana Allah SWT.

Buku-buku baru Pendidikan Islam j-QAF

Buku Kursus Peningkatan Pengajian dan Pembelajaran Iqra' 2008
Buku Panduan Kursus Pemantapan Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam KBSR 2008
Kad Rekod Bacaan Iqra' dan Al-Quran
Panduan Doa, KPM
Panduan Pelaksanaan Pendidikan Islam j-QAF dan Rancangan Tahunan
Tahun 5
Buku Panduan Pelaksanaan Model-model Pengajaran, Pembelajaran dan Kurikulum j-QAF
Tahun 5

Sunday, December 21, 2008

Abu Yusuf mengkaji masalah fiqh ketika nazak

Kisah yang saya paparkan di bawah ini hanyalah satu dari 1001 kisah para ulama Islam, yang begitu teliti memanfaatkan setiap waktu kehidupan mereka, yang berkaitan dengan kata-kata hikmah sebelum ini iaitu:
"اُطْلُبُ الْعِلْمَ مِنَ الْمَهْدِ إِلَى اللَّحْدِ" (Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad).

Semoga bermanfaat bagi muhasabah diri dan membuat perbandingan di antara manusia biasa yang mendapat ‘anugerah cemerlang’ dan ulama luar biasa yang terbilang.

Al-Imam Al-Qadhi Abu Yusuf (Ya’qub bin Ibrahim Al-Ansari Al-Kufi Al-Baghdadi), yang lahir pada 113H dan wafat pada 182H, semoga Allah merahmatinya, sahabat dan murid Imam Abu Hanifah, penyebar ilmu dan mazhabnya, menjadi qadhi semasa pemerintahan 3 khalifah kerajaan Abbasiyyah iaitu Khalifah Al-Mahdi, Al-Hadi dan Ar-Rasyid. Beliau orang yang pertama diberi gelaran Qadhi Al-Qudhah (Ketua segala Qadhi), bahkan ada yang mengatakan beliau: Qadhi kepada segala qadhi dunia ini.

Ketika dalam keadaan nazak, beliau masih mengkaji beberapa masalah fiqh, dengan harapan agar orang lain atau murid beliau mendapat manfaatnya, dan tidak berlalu saat-saat akhir hidup beliau ini melainkan mengisinya dengan perbincangan ilmu, memberi dan menerima manfaat.

Berkata muridnya Al-Qadhi Ibrahim bin Al-Jarrah Al-Kufi Al-Misri:

“Abu Yusuf telah jatuh sakit, maka aku datang untuk menziarahi beliau dan aku dapati beliau telah pitam.

Apabila telah sedar, beliau bertanya kepadaku: “Wahai Ibrahim, apa pendapat kamu tentang masalah ini?”

Aku menjawab: “Walaupun dalam keadaan begini?”

Beliau berkata: “Tak mengapa, kita sama-sama belajar, semoga berjayalah sesiapa yang berusaha”

Sambung beliau lagi: “Wahai Ibrahim, yang manakah lebih afdhal (utama) dalam amalan melontar –dalam ibadat haji-, melontar dalam keadaan berjalan atau menunggang?”

Aku menjawab: “Menunggang”. Beliau pula berkata: “Kamu telah silap”.

Aku berkata lagi: “Berjalan”. Beliau berkata: “Kamu telah silap”.

Aku pun berkata: “Katakanlah, semoga Allah meredhaimu”.

Beliau berkata: “Sesiapa yang hendak berdoa maka lebih afdhal baginya melontar dalam keadaan berjalan dan sesiapa yang tidak berdoa maka lebih afdhal baginya melontar dalam keadaan menunggang”.

Kemudian, akupun bangun untuk beredar dari sisinya. Sebaik sahaja aku sampai ke pintu rumahnya, aku mendengar bunyi ketika nyawanya dicabut yang menandakan beliau telah meninggal dunia, semoga Allah merahmati beliau” [1].

[1] Lihat: Abu Ghuddah, Abdul Fattah (1417H), Qiimatu Az-Zaman ‘indal Ulama, m/s 27-28, Maktab Al-Mathbu’aat Al-Islamiah (Cetakan Kesepuluh). Sumber asal cerita ini beliau nukilkan dari kitab “Manaqib Abi Hanifah” oleh Al-Imam Al-Muaffaq Al-Makki.

Friday, December 19, 2008

Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (1417H) telah memberi komentar tentang kata-kata yang popular di kalangan masyarakat ini dengan menjelaskan[1]:

“Bahawa kata-kata ini: ‘Menuntut ilmu dari buaian ke liang lahad’, atau yang disebut sebagai ‘Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad’, bukanlah Hadis Nabi SAW, tetapi ia merupakan kata-kata manusia, maka tidak harus untuk menisbahkannya kepada Rasulullah SAW sepertimana yang selalu orang katakan. Ini adalah kerana tidak boleh menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah SAW melainkan hanya apa yang benar baginda ucapkan atau lakukan atau perakukan.

Walaupun kata-kata ini betul dan benar maksudnya, tetapi ia tetap tidak diharuskan untuk menisbahkannya kepada Nabi SAW.

Hadis palsu ini “Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad” sangat popular dan masyhur di kalangan manusia, akan tetapi adalah menghairankan bahawa kitab-kitab yang menghimpunkan ‘hadis-hadis yang masyhur’ tidak pernah menyebutkannya”.

[1] Lihat: Abu Ghuddah, Abdul Fattah (1417H), Qiimatu Az-Zaman ‘indal Ulama, m/s 29, Maktabah Al-Mathbu’aat Al-Islamiah (Cetakan Kesepuluh)

Tuesday, December 16, 2008

Nilai Waktu bagi Para Ulama

Ini kulit buku versi e-book: "Qimatu Az-Zaman 'indal Ulama" tulisan Al-Marhum Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (1417H), ulama besar Syria yang sangat tinggi ilmu dan akhlaknya
Pada musim hujan dan banjir di Kelantan tempohari, saya menghabiskan waktu kelapangan yang ada untuk pulun membaca beberapa kitab ulama yang sangat tidak ternilai, tetapi jarang ada di pasaran rantau ini (terjemahannya dalam Bahasa Melayu pun tiada).
Jadi, saya telah memilih buku ini dengan tajuk seperti di atas, sebagai pembakar semangat, penyuntik motivasi, pemberi kekuatan dan menilai diri yang serba lemah dan kekurangan ini.
Syeikh telah memuatkan banyak kisah para ulama kita dalam menjaga waktu mereka, yang tiada tolok bandingnya dan sangat menakjubkan, bahkan ada yang tidak terbayang dan tergambar di benak fikiran kita.
Di sini saya belum ingin berkongsi kisah-kisah mereka ini. Sepanjang pembacaan saya, saya telah mencatat beberapa kata-kata hikmah tentang kepentingan menjaga waktu dan masa, yang lahir daripada lidah yang benar dan hati yang suci para sahabat, tabi'in dan ulama selepasnya.
Oleh itu, marilah kita teliti dengan penuh keinsafan, 10 kata-kata terpilih ini, sebagai bahan muhasabah diri dan peringatan, buat diri yang lalai, leka dan lupa.
1) الزمن هو الحياة: "Masa itu kehidupan" (Hasan Al-Banna)
2) الاشتغال بالندم على الوقت الفائت، تضييع للوقت الحاضر: "Penyesalan atas masa yang telah lalu adalah membuang masa"
3) الوقت كالسيف، إن لم تقطعه قطعك: "Masa itu seperti pedang, jika engkau tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu"
4) من علامة المقت، إضاعة الوقت: "Antara tanda kehinaan ialah membuang masa"
5) إن الوقت سيف قاطع وبرق لامع : "Sesungguhnya masa itu seperti pedang yang tajam dan kilat yang menyambar" (Abu Ghuddah)
6) اختر لنفسك ما يعود عليك من وقتك : "Pilihlah untuk dirimu apa yang memberi manfaat kepadamu dari waktumu" (Abu Ghuddah)
7) ماندمت على شيء ندمي على يوم غربت شمسه، نقص فيه أجلي ولم يزد فيه عملي: "Tidak pernah aku rasa menyesal atas sesuatu sebagaimana aku rasa menyesal setiap kali matahari terbenam, maka berkurangnya usiaku tanpa bertambahnya amalanku" (Ibnu Mas'ud)
8) إن الليل والنهار يعملان فيك، فاعمل فيهما: "Sesungguhnya malam dan siang sentiasa bekerja untuk kamu, maka bekerjalah untuk kedua-duanya" (Umar bin Abdul Aziz)
9) ياابن آدم، إنما أنت أيام، فإذا ذهب يوم ذهب بعضك: "Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu umpama hari-hari, apabila berlalunya satu hari maka sebahagian kamu pun pergi juga" (Hasan Al-Basri)
10) العمر قصير والعلم كثير: "Umur itu pendek sedangkan ilmu itu banyak" (Al-'Allamah Thoskubri)

Friday, December 12, 2008

Jumpa saya dalam Facebook

Walaupun sudah kira-kira 6 bulan saya jadi ahli Facebook, tapi baru hari ini saya nak cerita di blog saya ni. Dulu saya memang langsung tak berminat untuk menyertai Friendstar, Fotopages, Flickr, MySpace, Multiply dan seumpamanya.

Mungkin saya tak suka melihat orang kita yang suka memaparkan gambar-gambar yang terlalu peribadi di internet kepada umum, khususnya sebahagian kaum wanita Muslimah, yang semakin hari semakin tak malu. Tetapi, entah macam mana saya tertarik pula untuk menyertai Facebook, sedangkan saya sudah ada blog sendiri yang dibangunkan melalui Blogger.
Tujuan utama saya menyertai Facebook hanyalah untuk mencari kenalan, kawan dan sahabat lama semasa di sekolah atau universiti dulu. Sehingga kini, memang objektif itu tercapai kerana semakin hari semakin bertambah bilangan kawan-kawan lama yang sudah saya jumpa melalui Facebook. Yang penting di sini kena daftarkan diri menggunakan nama sebenar, bukan nama samaran, begitu juga dengan gambar.
Tambahan pula, Facebook mempunyai ciri-ciri dan paparan yang menarik dan mudah untuk digunakan sama ada untuk menulis nota, artikel, makluman, berita, komen, berbual atau memuat naik serta melihat gambar dan video.

Ia lebih jujur dan telus berbanding menyertai kumpulan email (email groups) atau forum internet yang biasa menggunakan nama samaran dan 'avatar' yang bermacam-macam.
Juga perlu diingatkan, adab perhubungan antara lelaki dan perempuan adalah sama sahaja, sama ada di alam nyata atau di alam maya. Jagalah maruah peribadi kerana orang bukan Islam sudah tentu tidak berminat dengan Islam apabila melihat orang Islam sendiri begitu hina dan rendah maruahnya.
Maka benarlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW:
عن أبي مسعود رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى : إذا لم تستحي فاصنع ما شئت
Daripada Abu Mas'ud RA berkata: Rasulullah SAW telah berkata: Sesungguhnya antara ucapan awal kenabian yang manusia tahu ialah "Apabila kamu takde rasa malu, buatlah apa sahaja yang kamu nak"
(Direkodkan oleh Imam Bukhari)

Wednesday, December 10, 2008

Pasak Bumi

Allah SWT telah lama mengingatkan kita tentang asal dan fitrah penciptaan
bukit-bukau dan gunung-ganang:"Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju."
(An-Nahl:15)
"Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani."
(Al-Anbiya':31)

"Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat."
(Luqman:10)

"(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?"
(An-Naba':6-7)

"Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya); (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu."
(An-Naazi'aat:32-33)
Sumber foto:
Bernama, TV3, PDRM, Berita Harian, Forum internet

Thursday, December 4, 2008

Zikir dan Etika di Taman Rekreasi

Sehingga hari ini sudah 3 hari saya dapat melihat matahari di Kelantan, atau di Kota Bharu khususnya, setelah berhujan selama seminggu, siang dan malam tanpa henti, sehinggakan di sesetengah kawasan mengalami banjir.
Oleh itu, pada hari semalam saya dapat mengambil peluang ini dengan membawa anak-anak saya ke sebuah taman rekreasi dan taman permainan kanak-kanak yang berhampiran dengan kampung kami iaitu Taman Perbandaran Tengku Anis.
Apa yang istimewanya dengan taman rekreasi ini ialah terdapat beberapa papan tanda yang mengandungi Kalimah-kalimah Zikrullah dan juga papan kenyataan tentang Etika Berpakaian di taman tersebut.Papan Kenyataan Etika Berpakaian
A. Lelaki Islam

Baju:
1. Memakai baju berlengan panjang atau pendek
2. Memakai baju yang melebihi paras pinggang
3. Tidak memakai baju yang nipis atau ketat

Seluar:
1. Memakai seluar yang melebihi paras lutut
2. Tidak memakai seluar yang nipis atau ketat

B. Lelaki Bukan Islam

Baju dan Seluar:
1. Berpakaian sopan
C. Wanita Islam

Tudung:
1. Memakai tudung yang melebihi paras dada dan menutupi anggota seperti rambut, telinga dan leher
2. Memakai tudung yang tidak nipis

Baju:
1. Memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan
2. Memakai baju yang melepasi paras peha
3. Tidak memakai baju yang nipis dan ketat

Seluar:
1. Memakai seluar yang mencecah paras buku lali
2. Tidak memakai seluar yang nipis dan ketat

D. Wanita Bukan Islam

Baju:
1. Memakai baju yang berlengan
2. Memakai baju yang melepasi paras pinggang
3. Tidak memakai baju yang nipis dan ketat

Seluar:
1. Memakai seluar panjang atau yang melepasi paras lutut
Memohon keampunan daripada Allah
Bertasbih kepada Allah
Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
Ini merupakan salah satu usaha dakwah ‘Mengajak ke arah kebaikan, Perintah kepada yang Makruf dan Melarang dari yang Mungkar’. Pedulikan pada kritikan dan cemuhan orang-orang yang berpenyakit hati. Ia merupakan asam-garam dalam berdakwah.

Tuesday, December 2, 2008

Ziarah dan bermalam di rumah guru


عن مالك بن الحويرث رضي الله عنه، قال: أتينا رسول الله (ص) ونحن شببة متقاربون، فأقمنا عنده عشرين ليلة، وكان رسول الله رحيما رفيقا، فلما ظن أنا قد اشتقنا أهلنا، سألنا عمن تركنا بعدنا فأخبرناه، قال: "ارجعوا إلى أهليكم، فأقيموا فيهم، وعلموهم ومروهم، وصلوا كما رأيتموني أصلي، فإذا حضرت الصلاة، فليؤذن لكم أحدكم، وليؤمكم أكبركم".

Terjemahan hadis:
Daripada Malik bin Al-Huwairith RA berkata: Kami sekumpulan pemuda yang hampir sebaya umur telah datang menemui Rasulullah SAW dan kami telah tinggal bersama baginda selama 20 malam. Rasulullah SAW seorang yang penyayang dan baik hati. Apabila kami merasakan telah menyusahkan keluarga kami (kerana lama ditinggalkan), kami bertanyakan khabar kepada orang yang kami tinggalkan selepas kami (datang ke sini), maka kami pun memberitahu hal itu kepada baginda dan baginda pun berkata: “Pulanglah kepada keluarga kamu, tinggallah bersama mereka, ajarkanlah dan perintahkanlah mereka, dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku bersolat, maka apabila masuknya waktu solat, hendaklah seseorang antara kamu melaungkan azan dan orang yang lebih berumur antara kamu menjadi imam”.
(Direkodkan oleh Imam Bukhari: 2/93 dalam Kitab Azan dan Muslim: 5/174 dalam Kitab Masjid)

Beberapa pengajaran pendidikan dari hadis ini[1]:

1- Beberapa pemuda mengadakan rombongan rehlah atau ziarah ke rumah guru mereka, untuk menuntut ilmu, bagi menambahkan kefahaman (fiqh) mereka tentang agama dan meluangkan masa bersama guru mereka.
2- Maka, mereka dapat melihat tingkah laku guru mereka, petunjuk dan amalannya, bagi menambahkan kefahaman mereka disebabkan dekatnya hubungan dan pergaulan mereka dengan guru.
3- Mengambil ilmu yang disertakan dengan amalnya dapat menjelaskan lagi apa yang kusut dalam jiwa mereka, memperbaiki tingkah laku mereka, sebagaimana keadaan yang dilalui oleh para sahabat Nabi SAW apabila bersama baginda.
4- Hendaklah kita melihat kepada diri dan personaliti baginda SAW sebagai pusat ikutan dan contoh manusia yang terbaik dan sempurna.
5- Mempelajari hukum-hakam syariah daripada baginda SAW.
6- Hendaklah penuntut ilmu berusaha mendapatkan guru yang lebih tinggi ilmu dan kefahamannya. Ini adalah kerana para bapa pemuda itu tadi merupakan para sahabat Rasulullah SAW sendiri, yang menuntut, mengambil dan mengetahui ilmu daripada baginda, maka para pemuda itu tidak sekadar cukup mendapatkan ilmu daripada bapa mereka, tetapi daripada penghulu segala ulama dan para nabi dan manusia yang paling tinggi ilmunya iaitu Nabi SAW.

[1] Lihat: Abu Ghuddah, Abdul Fattah (1417H), Ar-Rasul Al-Mu’allim wa Asalibuhu fi At-Ta’lim, m/s 22, Beirut: Maktabah Al-Mathbu’at Al-Islamiah (2003)