Thursday, December 31, 2009

Penyelaras j-QAF

"A'kum saya cadangkan akak lantik orang lain jadi SU Panitia ye. Saya rasa cukuplah dah 3 tahun saya jadi SU dan biarlah saya jadi AJK yang rajin sahaja..hehe"

Ketua Panitia saya memang tak puas hati dan sangat susah hati apabila membaca SMS yang saya hantar itu. Dia tetap mahukan saya menjadi 'orang kanan'nya.

"Rilek kak. Akak lantik je orang lain jadi SU manakala saya menjadi Penyelaras j-QAF. Tahun depan 1st batch j-QAF dah last, jadi saya nak mana-mana yang masih ada cacat cela dapat disempurnakan sebaik mungkin. Saya cuma nak kurangkan tugas SU dan saya ada idea untuk kita bahagikan tugas sesama GPI. Nanti kita bincang semula di sekolah esok ye".

Akhirnya, KP telah menerima cadangan saya dan melantik GPI j-QAF yang lebih cemerlang daripada saya yang tidak cemerlang ini untuk menjadi SU Panitia. Saya pula melantik diri sendiri sebagai Penyelaras j-QAF dan dipersetujui sebulat suara oleh semua GPI.

Saya menjelaskan rasional di sebalik pembahagian tugas di antara SU Panitia dan Penyelaras j-QAF ini. Sebelum ini sekolah kami tidak pernah mewujudkan jawatan Penyelaras j-QAF dalam Panitia Pendidikan Islam (PPI). Yang ada hanyalah Ketua Panitia, Setiausaha, Bendahari dan beberapa orang AJK.

Pada tahun 2009, sebagai satu-satunya ustaz di sekolah ini, saya menanggung beban tugas yang lebih memenatkan berbanding tahun sebelumnya. Sebagai SU Panitia, saya juga melaksanakan tugas seorang Penyelaras atau Ketua Unit j-QAF walaupun nama jawatan itu tidak wujud di sekolah saya berbanding kebanyakan sekolah-sekolah lain.

Jadi, untuk tahun 2010, saya mencadangkan bahawa SU Panitia hanya memberi tumpuan kepada membantu KP dalam menyediakan perancangan panitia, mengemaskini fail panitia, menyediakan kertas kerja, surat-menyurat, minit mesyuarat dan laporan setiap aktiviti panitia yang bukan di bawah nama program j-QAF seperti hari-hari kebesaran Islam, analisa ujian dan peperiksaan dan sebagainya.

Manakala Penyelaras j-QAF pula lebih fokus kepada pengurusan segala aktiviti dan program j-QAF seperti mengemaskini fail j-QAF, Kem Bestari Solat (KBS), Rekod Pencapaian Khatam Al-Quran dan Tasmik, eLaporan j-QAF dan sebagainya.

Pengurusan Balai Islam (kami tiada Bilik j-QAF), Bahasa Arab dan Jawi pula adalah tanggungjawab bersama semua GPI mengikut bidang masing-masing.

Semoga segala pengurusan dan pelaksanaan aktiviti panitia dan j-QAF pada tahun 2010 lebih baik daripada tahun sebelumnya, apatah lagi 2010 merupakan tahun terakhir kumpulan murid pertama program j-QAF yang sudah naik ke Tahun 6. InsyaAllah, "j-QAF Tanpa Gagal".

Thursday, December 24, 2009

Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) Cameron Highlands

Pada asalnya saya merancang untuk membawa ahli keluarga bercuti ke Cameron Highlands tanpa membuat sebarang tempahan tempat penginapan. Saya fikir masih ada tempat penginapan, walaupun dalam cuti sekolah tetapi pada hari bekerja, secara walk-in 2 hari sebelum cuti Krismas. Saya mengelak untuk ke sana pada hujung minggu kerana tidak mahu menghadapi kesesakan lalulintas sepanjang berpuluh kilometer dari Simpang Pulai ke puncak Cameron Highlands.

Walau bagaimanapun, setelah banyak kali 'mengulangkaji' tentang tempat-tempat penginapan di sana sama ada hotel atau apartment (kali terakhir saya ke sana ialah semasa zaman kanak-kanak), saya terjumpa satu laman web yang dapat menyelesaikan masalah saya.

Saya masuk ke Laman Web Rasmi Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri (www.bph.gov.my) di bahagian Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) Cameron Highlands dan dengan takdir Allah, masih ada 1 bahagian kosong untuk saya pada hari yang dikehendaki.
Tidak disangka sehari sebelum bertolak, saya telah sempat membuat tempahan 2 hari 1 malam di RPP tersebut iaitu jenis Apartment 2 Bilik dengan bayaran harga hanya RM50! Sangat murah dan terlebih berbaloi kerana saya telah dapat menjimatkan duit sebanyak RM300 yang boleh saya gunakan untuk perbelanjaan lain yang lebih penting di sana.

Urusan tempahan sangat mudah asalkan anda seorang kakitangan awam. Bermula dengan mengisi No. KP, Butir-butir peribadi termasuk Majikan, Gred dan Jawatan dalam kerajaan. Cara pembayaran yang paling mudah adalah dalam talian sama ada secara perbankan internet atau kad kredit.

Berikut adalah gambar-gambar menarik RPP Cameron Highlands ini, ekslusif hanya di blog ini :)
Bangunan Pejabat RPP
Banglo (bagi kakitangan awam gred 48 ke atas sahaja). Harga sewa 1 malam RM200.
Apartment 2 Bilik
Sebaik sahaja membuka pintu, saya terkejut melihat ruang tamu yang sangat luas. Lebih luas dari ruang tamu rumah 2 tingkat saya.
Set sofa dan TV yang dilengkapi Astro (Pakej Asas)
Meja Makan pun bersaiz besar untuk 8 orang
Setiap bilik tidur dilengkapi dengan katil saiz queen, almari pakaian, meja solek, 2 buah kerusi sofa serta bilik air
Ruang dapur pun luas dengan almari kabinet dan peti ais
Lengkap dengan pinggan mangkuk, cawan, gelas dan cerek elektrik. Tetapi, memasak adalah tidak dibenarkan.
Seperti yang sedia maklum, saya mengelak untuk berkongsi cerita tentang hal peribadi dan ahli keluarga saya dalam blog kecuali ia ada kaitan dengan agama dan pendidikan serta kerjaya saya sama ada yang rasmi atau tidak rasmi. Oleh kerana catatan kali ini memang ada kaitan dengan kerjaya saya sebagai seorang kakitangan awam, maka dapatlah saya kongsikan mana-mana yang berkaitan sahaja.

Sunday, December 20, 2009

Sehari bersama Syeikh Yusuf Al-Qardhawi

Apabila mendapat tahu Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi akan datang ke Malaysia dan menyampaikan dua ceramah perdana, maka saya termasuk di kalangan peminat beliau yang berasa sangat gembira dan bersyukur kepada Allah SWT.

Peluang keemasan untuk menjadi murid beliau secara langsung ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Apatah lagi dalam keadaan beliau sudah berusia 84 tahun dengan kesihatan yang kurang memuaskan, bertongkat dan berkerusi roda kerana sudah tidak mampu berdiri dan berjalan lama. Kemungkinan besar ini kali terakhir beliau dapat datang ke sini.

Para tetamu berdiri hormat menyambut kedatangan Syeikh Al-Qardhawi ke dalam dewan

Lagipun saya sudah berada di Lembah Klang. Ada orang lain sanggup datang jauh dari luar negeri Selangor ini semata-mata untuk berguru dengan Syeikh Al-Qardhawi. Jadi, tidak ada sebab untuk saya sengaja menguzurkan diri dengan mengikut agenda hidup orang lain untuk memenuhi shopping complex dek terpengaruh iklan Year End Sale (YES) dan pelbagai godaan duniawi lain.

Selama ini saya hanya dapat menjadi 'murid' setia beliau melalui koleksi buku, artikel dan video ceramah yang kebanyakannya sudah berjaya dikhatamkan. Tetapi sekadar itu sahaja adalah tidak memadai bagi orang yang cintakan ilmu dan ulama. Sebagai seorang guru, saya sangat faham mengapa MENGADAP GURU itu merupakan proses pendidikan yang paling penting dalam pengajaran dan pembelajaran, terutamanya dalam menuntut ilmu agama. Pendidikan Jarak Jauh dan 'Ijazah Mee Segera' tiada dalam kamus menuntut ilmu agama.
Muhadharah Perdana di PICC, Putrajaya

Dato' Dr Masyitah Ibrahim telah mencadangkan kepada Syeikh Al-Qardhawi untuk menyampaikan ceramah tentang "Fiqh Jihad" bersempena judul buku terbaru beliau itu. Memang puas hati dan tidak mengecewakan, beliau telah menerangkan tentang konsep sebenar Jihad menurut perspektif Islam dengan hujah-hujah kuat dari Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Syeikh Al-Qardhawi menerima cenderahati daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Dato' Dr Masyitah Ibrahim
Berikut adalah ringkasan ceramah yang dapat saya kongsikan:
1- Dalam pemahaman tentang konsep Jihad, umat Islam terbahagi kepada 3 golongan:
i) Golongan Pelampau yang berpendapat bahawa jihad bersenjata (berperang) mestilah dilaksanakan secara berterusan terhadap semua orang kafir dan negara kafir.
ii) Golongan Liberal yang berpendapat bahawa jihad bersenjata sudah tidak ada lagi kerana telah dimansuhkan. Yang ada hanyalah jihad dalam bidang-bidang lain.
iii) Golongan Sederhana yang berpendapat bahawa jihad sama ada bersenjata atau tidak merupakan tuntutan Islam yang wajib dilaksanakan tetapi berdasarkan kaedah dan syarat tertentu yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
2- Beliau telah meringkaskan pembahagian jihad oleh Imam Ibnul Qayyim (13 bahagian) kepada 4 bahagian iaitu:
i) Jihad Nafs (Jiwa): Iaitu berjihad dengan belajar ilmu, mengamalkannya, mengajarkannya dan sabar dalam melaksanakannya.
ii) Jihad Syaitan: Iaitu berjihad melawan hasutan syaitan yang terdiri dari Syahwat dan Syubhah (Keraguan).
iii) Jihad Masyarakat: Iaitu berjihad dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran menggunakan kuasa, lisan, hati dan harta.
iv) Jihad Kafir dan Munafik: Iaitu berjihad menghadapi orang Kafir dengan kuasa dan lisan, manakala orang Munafik dengan lisan.
3- Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda tidak pernah memulakan jihad peperangan terhadap golongan kafir tetapi baginda terpaksa berperang kerana mempertahankan Madinah dan agama Islam. Semua peperangan adalah berpunca dan dimulakan oleh orang kafir.
4- Islam hanya disebar ke seluruh dunia melalui dakwah secara lisan dan akhlak para pendakwah. Semua wilayah dan kota baru Islam tidak pernah dibuka dan dijajah melalui mata pedang.
Ceramah Perdana di Masjid Negeri, Shah Alam

Saya terlewat sampai 10 minit dari waktu maghrib. Mujur ada tempat parking walaupun kawasan masjid sudah penuh sehingga berderet kereta sepanjang jalan sekeliling masjid. Dewan solat utama sudah hampir dipenuhi oleh manusia yang dahagakan ilmu.

Selepas solat Maghrib, majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Menteri Besar Selangor dan ceramah beliau diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin. Turut hadir ialah Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.
Syeikh Al-Qardhawi memulakan ucapannya dengan 'set induksi' yang menarik dengan bercerita kisah perkenalan beliau dengan sahabat lamanya iaitu Anwar Ibrahim. Beliau juga gembira dan bersyukur kerana pertemuan kali ini diadakan di rumah Allah iaitu masjid.
Kemudian barulah beliau menyampaikan tentang "Beberapa Pengajaran dari peristiwa Hijrah Nabi SAW":

1- Kisah burung merpati dan sarang labah-labah di Gua Thur tidak ada asasnya daripada hadis-hadis Nabi SAW malah bertentangan dengan ayat Al-Quran (Surah Taubah: 40) yang menyebutkan tentang Allah menurunkan tenteraNya yang tidak dapat dilihat, sedangkan burung merpati dan sarang labah-labah boleh dilihat oleh mata. Maka kita perlu berhati-hati dalam membaca Sirah Nabi kerana terdapat perkara-perkara yang sahih (benar) dan perkara-perkara yang ditokok-tambah.

2- Hijrah merupakan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT kepada Nabi SAW dan para sahabat baginda yang telah menghadapi pelbagai ujian, cabaran dan seksaan sepanjang dakwah di Mekah.

3- Hijrah mengajar kita untuk membuat peranangan dan pelan strategik seelum melaksanakan sesuatu perkara.

4- Matlamat hijrah adalah untuk membina masyarakat baru yang berdasarkan Islam.

5- Perkara pertama yang dibuat oleh Nabi ialah membina masjid kemudian barulah membina pasar.

6- Persaudaraan Islam di antara kaum Muhajirin dan Ansar.

7- Semua manusia adalah sama kedudukannya, hanya taqwa yang membezakannya. Tiada kelebihan orang Arab dengan orang yang bukan Arab melainkan taqwa.

8- Bahaya golongan Munafik iaitu musuh dalam selimut kepada pemerintahan dan pentadiran Islam. Kita kena berhati-hati dengan golongan ini kerana golongan munafik zaman sekarang lebih bahaya dari zaman Nabi dulu.

Ya Syeikh, barakallahu fikum wa jazakumullahu khairan kathira. Semoga Allah mengurniakan kesihatan kepada beliau dan memberkati umur beliau dalam meneruskan perjuangan agama Allah ini.

VVIP yang mesra agama

"Assalamualaikum, ustaz, saya nak minta tolong ustaz handle majlis bacaan doa akhir awal tahun dan tazkirah sempena Tahun Baru Hijrah ni, kat rumah Tengku M**** di Shah Alam, boleh ke?"
Tiba-tiba saya terima on-call pada hari Rabu lepas daripada Tn Hj yang saya adakan kelas Al-Quran di rumahnya 2 kali seminggu ini.
"InsyaAllah Tn Hj, setakat ni memang boleh".
"Jadi, nanti ustaz datang ke rumah saya dalam pukul 5.00 petang. Lepas tu, kita naik kereta sama-sama ke sana".
Walaupun sebenarnya saya teringatkan surau taman yang turut mengadakan majlis sedemikian. Tetapi tidak mengapalah, ada lagi AJK dan ustaz lain yang boleh kendalikan. Peluang keemasan untuk berkongsi ilmu bersama golongan VVIP (bukan VIP) tidak boleh saya lepaskan. Lagipun, ini merupakan pengalaman pertama saya. Beberapa perkara bermain di fikiran saya sebelum majlis itu.

Sampai sahaja di sana, saya terkejut kerana kagum melihat apa yang diceritakan oleh Tn Hj sepanjang perjalanan dalam kereta. Terdapat dua buah rumah yang besar yang bersambung di tengahnya dengan sebuah surau yang besar dan cantik (sebesar tetapi tentunya lebih cantik dan canggih dari surau sekolah saya).
Saya kagum bukan kerana kehebatan fizikal rumah dan surau serta bilangan kereta yang ada, tetapi saya kagum kerana masih ada golongan VVIP yang mesra agama. Biasanya yang dilihat dan didengar ialah kehidupan ranggi gaya hidup barat yang melampau.
Kenapa saya sebut 'mesra agama'?
Walaupun baru pertama kali bertemu, tetapi saya rasa seolah-olah menjadi sebahagian daripada keluarga Tengku walaupun saya hanyalah seorang rakyat biasa. Mereka sangat mesra dan tawadhuk. Tidak ada gap di antara kami.
Saya mengendalikan majlis yang dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan Doa serta Doa Akhir Tahun sebelum maghrib. Selesai solat, kami membaca Doa Awal Tahun kemudian saya berkongsi sedikit Tazkirah yang banyak saya ambil daripada Khutbah "Hijrah Nabi" oleh Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai satu penghargaan kepada beliau yang datang ke Malaysia dan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431 ini.
Selepas solat Isyak, para tetamu dari kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan Tengku dijemput untuk jamuan makan. Alhamdulillah, hubungan persaudaraan yang terjalin bertambah mesra sepanjang aktiviti berbual sambil makan itu.

Harta kekayaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka dibelanjakan ke jalan Allah. Membina surau dalam halaman rumah dan mengimarahkannya dengan pelbagai aktiviti keagamaan. Saya cemburu dan dengki dengan mereka, kerana teringatkan hadis Nabi Muhammad SAW:

عن عبد الله بن مسعود؛ قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
((لا حسد إلا في اثنتين: رجل آتاه الله مالا فسلطه على هلكته في الحق. ورجل آتاه الله حكمة، فهو يقضي بها ويعلمها))
Maksudnya:
Daripada Abdullah bin Mas'ud berkata: Berkatalah Rasulullah SAW: "Tiada dengki kecuali dalam dua perkara: Orang yang dikurniakan harta oleh Allah maka dia membelanjakannya dalam kebenaran dan orang yang dikurnaikan hikmah (Al-Quran) maka dia mengamalkannya dan mengajarkannya".
(Direkodkan oleh Imam Bukhari dan Ibnu Majah)

"لا حسد إلا في اثنتين: رجل آتاه الله القرآن. فهو يقوم به أناء الليل. وآناء النهار. ورجل آتاه الله مالا. فهو ينفقه آناء الليل وآناء النهار"
Maksudnya:
"Tiada dengki kecuali dalam dua perkara: Orang yang dikurniakan Al-Quran oleh Allah maka dia melaksanakan ajarannya sepanjang malam dan siang, dan orang yang dikurniakan harta oleh Allah maka dia membelanjakannya (dalam kebenaran) sepanjang malam dan siang".
(Direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

p/s: Gambar tidak diambil kerana menghormati identiti dan privasi Tengku sekeluarga.

Wednesday, December 16, 2009

Yusuf Al-Qardhawi: Tokoh Maal Hijrah 1431 dan Majlis Muhadharah Perdana

Malaysia akan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1431 kepada Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431 Peringkat Kebangsaan pada pagi Jumaat 18/12/2009 ini, berdasarkan sumbangan besar beliau dalam bidang ilmu dan khidmat bakti beliau kepada Islam dan umatnya.
(Info lanjut sila lihat: www.qaradawi.net)

Tuesday, December 15, 2009

Bahan j-QAF Tahun 6

Sila download bahan-bahan ini di blog j-QAF Melaka. Masih ada banyak hari lagi untuk study bahan-bahan tersebut sebelum buka sekolah nanti :)
1- Panduan Pelaksanaan Model 6 Bulan Khatam Al-Quran Tahun 6
2- Borang Penilaian Jawi Tahun 6
3- Buku Panduan PKSR Bahasa Arab Tahap 2
4- Modul Pemulihan Jawi Tahun 6
5- Panduan Pelaksanaan Program Khatam Al-Quran Model Tasmik Tahun 6
6- Panduan Pelaksanaan Bahasa Arab Tahun 6
7- Panduan Pelaksanaan Kelas Pemulihan Jawi Tahun 6
8- Panduan Pelaksanaan Kelas Tasmik 6 Bulan Kedua Tahun 6
9- Rancangan Pelajaran Tahunan Pendidikan Islam Tahun 6 (Semester 1)
10- Rancangan Pelajaran Tahunan Pendidikan Islam Tahun 6 (Semester 2)
11- Senarai perkataan, ayat dan teks Jawi Tahun 6
12- Tasmik 6 Bulan Kedua Tahun 6 (Terjemahan dan Tafsir)

Saturday, December 12, 2009

Mas Kahwin dan Hantaran

Perkara ini termasuk dalam Siyasah Syar'iyyah. Pihak berkuasa (jabatan agama) tetapkan jumlah tertentu ada sebabnya. Lagipun, mahar (mas kahwin) ini jumlahnya masih kecil.

Disebabkan jumlah mahar masih kecil, masyarakat kita adakan hantaran. Hantaran ini mengikut kemampuan si lelaki lah. Kalau lelaki itu kaya dan jutawan, hendak menetapkan hantaran puluh ribu pun tidak mengapa sebab dia mampu dan tidak menjadi masalah dari segi Islam.

Yang jadi masalah ialah kebanyakan lelaki yang berpendapatan sederhana ditetapkan hantaran seperti lelaki jutawan. Maka dia terpaksa menanggung hutang seumur hidup padahal duit itu lebih baik digunakan untuk nafkah hidup yang lebih penting seperti membeli rumah untuk isteri dan ahli keluarga (itupun dah hutang sampai pencen).

Yang Tuan Guru Nik Aziz tetapkan RM1 ribu untuk anak daranya itu pun lagi ok. Contoh terbaik daripada orang yang faham Islam dan suka amalkan sunnah Nabi.

Maknanya bagi lelaki yg berpendapatan sederhana, hantaran yang sesuai ialah di antara RM1-5 ribu. Tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi.

Lagi satu, nilai wanita tidak boleh dinilai dengan nilai hantaran. Jangan pandang hina kepada wanita yang diberi hantaran RM1 ribu sahaja. Tapi amatlah menghina wanita apabila hanya diberi mahar sepuluh sen.

Mahar dan hantaran cuma 'nakfah deposit' yang pertama oleh si lelaki. Selepas itu, banyak lagi nafkah yang wajib ditunaikan seumur hidup bersama. Jadi, bersederhana itulah yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

Buat-buat Jahil

Saya selalu ingat pesanan ayah saya (pendakwah yang bukan ustaz):
"Sekolah dan universiti adalah medan menuntut dan melatih ilmu untuk menjadi pendakwah. Medan sebenar pendakwah adalah kehidupan selepas tamat pengajian universiti iaitu apabila sudah bekerja dan berkahwin".

Orang Jahil ialah orang yang tiada ilmu. Jadi dia memang tidak tahu apa yang orang lain tahu.

Orang yang Bodoh Sombong pula ialah orang yang tiada ilmu tapi rasa dirinya berilmu dan tidak mahu menuntut ilmu. Sudahlah bodoh, sombong pula.

Orang yang Buat-buat Jahil pula ialah orang yang ada ilmu tapi tidak mahu mengamalkannya atau sengaja menyelewengkannya.

Malulah wahai orang yang bergelar ustaz/ustazah yang ada ilmu agama tapi buat-buat jahil kerana ramai orang yang tiada gelaran tersebut yang mahu dan bersungguh-sungguh melaksanakan ilmu agama dan tidak menyelewengkannya.

Semoga kita tidak termasuk di kalangan mereka yang buat-buat jahil. Yang buat-buat jahil ini biasanya sebab dah jatuh cinta dan terpesona dengan dunia, duit, harta, pangkat, wanita dan seumpamanya.

"Eh, enta tau tak, ada sorang ustazah ni dulu masa ngaji sekali dengan ana kat U dulu bukan main hebat alim pakai purdah, tapi sekali ana terkejut nampak dia masuk menyanyi rancangan realiti kat tv. Pakaian toksah citalah!"

"Dulu syeikh ni bukan main hebat ceramah pasal Islam. Program jemaah dan usrah tak pernah miss. Bila dah balik Malaysia, lain jadinya"


اللهم ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
(Allahumma Thabbit Qulubana 'Ala dinik wa 'ala Tho'atik)

(Tulisan di atas terlebih dahulu ditujukan kepada diri saya sendiri)

Sunday, December 6, 2009

Khas untuk Pengantin Baru: Barakallahu Lakuma!

We here on this special day
Our hearts are full of pleasure
The day that brings the two of you.. close together

We gathered here to celebrate
And hope and to always treasure
We ask Allah to make your love.. last forever

(Chorus)
Lets raise our hands and make doa
Like the prophet thought us
And with one voice
Lets all say! say! say!
“بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في الخير”

From now you share all your joys
Trough heart each support each other
Together worshiping Allah
Seeking His pleasure

We pray that he’ll pay your life
With happiness and blessings
And grad your kids will make your home
Feel with laughter

بارك الله
بارك الله لكم ولنا

الله.. بارك لهما
الله.. ادم حبهما
الله.. صل وسلم على رسول الله

الله.. تب علينا
الله.. يرضى عنا
الله.. اهد خطانا
على سنة نبينا


Maher Zain
Album: Thank You Allah
Nota: Sila cari dan download sendiri 14 lagu penuh Maher Zain dari album tersebut dalam internet. Saya tidak akan letakkan linknya di blog ini.

Saturday, December 5, 2009

Dubai lebih miskin dari Kelantan?

Dubai dilanda krisis hutang seperti Burj Dubai dipanah petir kilat
Nabi SAW pernah berkata:
"وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء يتطاولون في البنيان..."
Maksudnya:
"Dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, fakir dan mengembala kambing saling bersaing untuk membina bangunan yang tinggi (dengan rasa megah dan bangga)"
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)
Hari ini saya terjumpa satu ulasan menarik tentang krisis hutang Dubai oleh Hishamuddin Rais:
"Baghdad became the most elegant intellectual city - it had nothing to do with the biggest, the tallest, the longest, the widest, the fastest or the most expensive hotel. It was not about shopping malls or hedonism. Baghdad was about rational thought, philosophy, poetry and scientific inquiry that produced names like Ibnu Sina, Abu Nawas, Al-Farabi; that laid the foundation of the Renaissance. How the Sheikh (Rashid bin Saeed Al-Maktoum) was able to compare present-day Dubai with old Baghdad or Cordoba is mind-blogging"
(From article "Lessons not learnt", The Sun, page 23, Friday 4th December 2009)
Dubai merupakan syurga dunia. Macam-macam dan segalanya ada di Dubai. Dari bangunan dan hotel tertinggi di dunia hinggalah ke segala macam taman tema dan pusat hiburan paling besar di dunia. Tetapi Dubai menanggung hutang USD80 billion!
Kelantan pula dikatakan negeri paling miskin di Malaysia, dulu, kini dan selamanya. Kononnya tiada pembangunan kerana tiada bangunan tertinggi macam Burj Dubai, tiada hotel tertinggi macam Burj Al-Arab dan tiada kompleks membeli-belah terbesar macam Dubai Mall. Tetapi jumlah hutangnya hanya beberapa ratus juta (RM) sahaja. Itupun belum dicampur dengan hasil 'ihsan' royalti minyak :)
Kebanyakan orang kita melihat orang yang berkereta Ford Mondeo lebih kaya daripada orang yang berkereta Perodua Alza. Orang yang berumah banglo 2 tingkat lebih kaya daripada orang yang berumah teres setingkat. Tetapi hakikat realiti sebenarnya tidak semestinya begitu. Adakah orang yang mempunyai 5 keping kad hutang lebih kaya daripada orang yang tidak mempunyai sebarang kad hutang?

Jadi, Kelantan lebih kaya dari Dubai atau Dubai lebih miskin dari Kelantan?