Tuesday, December 28, 2010

Modul Transisi Bahasa Arab Tahun 1 KSSR

Guru-guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan diminta muat turun Modul Transisi Bahasa Arab Tahun 1 KSSR (112 muka surat) untuk digunapakai semasa Minggu Transisi Tahun 1 di laman web Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).

Wednesday, December 15, 2010

Akhirnya bertukar juga

Pada 15 November yang lalu, ketika menyemak keputusan eGtukar, yang tertera ialah: "Permohonan pertukaran anda tidak diluluskan".

Akan tetapi, pada hari semalam, saya menerima SMS yang mengejutkan daripada kerani sekolah: "Tahniah, ustaz dapat tukar"

Oleh kerana kurang percaya, saya menelefon semula untuk mendapatkan kepastian. Kebetulan saya berada tidak jauh dari PPD, maka saya terus pergi ke sana untuk mengambil kesemua surat untuk 6 orang guru yang sama-sama bertukar dalam daerah.

Alhamdulillah, memang sah saya dapat bertukar ke sekolah yang dimohon (pilihan pertama). Memang sangat melegakan kerana sebelum ini saya perlu berulang-alik sejauh 120km setiap hari berbanding ulang-alik 5km sahaja ke sekolah baru.
Di sebalik kegembiraan ini, ada juga kesedihan. Sedih kerana terpaksa meninggalkan pelbagai kenangan manis, pahit, masam dan masin bersama rakan-rakan guru dan murid selama 6 tahun di SK2TK yang sudah tentunya tidak dapat dilupakan sepanjang hayat. Banyak ilmu, kemahiran dan pengalaman yang telah saya dapat di sini melalui detik-detik permulaan sebagai seorang pendidik.

Jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua guru -termasuk bekas guru- terutamanya yang senior kerana banyak berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Semoga jasa kalian diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah Yang Maha Pemurah.

Rasa terkilan kerana tidak dapat bersama-sama membantu para ustazah menghias dan menceriakan Bilik j-QAF yang baru. Walaupun generasi pertama j-QAF telah berjaya dilahirkan, tetapi banyak lagi yang perlu saya perbaiki tentang pengurusan j-QAF di SK2TK.

Akhirnya, saya ingin memohon maaf atas segala kesalahan, kesilapan, kekurangan dan kelemahan saya sepanjang berkhidmat di sini. Semoga jalinan persahabatan ini akan terus berkekalan.

Sunday, December 5, 2010

Jejak Hijrah Rasulullah: Perjalanan dan Pengajaran

Jejak Hijrah Rasulullah
Slaid ini telah dibentangkan dalam ceramah Maal Hijrah 1427 di Dewan Bait Al-Hikmah, SK (2) Taman Keramat