Dengan bilangan murid j-QAF yang jauh lebih ramai (lebih 600 orang) -program j-QAF baru sampai Tahun 3-berbanding jumlah murid sekolah lama saya (hanya 500 orang), adalah menjadi satu cabaran baru bagi saya selaku Penyelaras j-QAF untuk menguruskan aktiviti Kem Bestari Solat (KBS) Tahap 1 kali pertama tahun ini.
Sepertimana tahun-tahun lepas, sekolah ini mengadakan KBS kali pertama secara gabungan semua tahun. Kemudian, siri KBS yang berikutnya diadakan secara berasingan mengikut tahun dan sesi (pagi atau petang).
Walaupun dengan bilangan murid yang ramai, saya tetap mengambil keputusan untuk tidak perlu melibatkan guru-guru lain selain tenaga kerja para GPI dan GPI j-QAF seramai 17 orang (termasuk GPK Ko-Kuriklum).
Aktiviti yang paling sesuai untuk KBS kali pertama ini telah difikirkan dan dirancang semudah yang mungkin bagi semua fasilitator bagi mengurangkan bebanan tugas. Walau bagaimanapun, beberapa kelemahan dan kekurangan tetap ada sepanjang KBS ini berlangsung.
Seperti sejak 6 tahun lepas di sekolah lama, saya tetap mengambil tanggungjawab untuk menyampaikan Taklimat Multimedia. Dapat juga saya selitkan tayangan video klip pidato Zaid Najmuddin (ada tazkirah tentang solat) semasa final Adik-adikku tempohari kepada para peserta murid Tahun 3. Terima kasih diucapkan kepada guru kaunseling yang membantu saya menyediakan peralatan LCD.
Akhirnya, saya ingin mengucapkan Jazakumullahu Khairan Kathira kepada semua GPI j-QAF (8 orang) yang merupakan urusetia KBS ini kerana telah memberikan kerjasama yang cemerlang sebelum dan semasa KBS ini. Begitu juga kepada semua GPI (9 orang termasuk GPK) yang turut sama membantu menjayakan KBS kali ini dan juga GPK Kurikulum dan Penyelia Petang yang turut hadir memantau aktiviti ini.
Semoga aktiviti ini diterima oleh Allah SWT sebagai amal ibadah dan amal jariah yang berpanjangan, amin.
0 komen:
Post a Comment