Monday, April 25, 2011

Kesantunan dakwah Nabi Ibrahim kepada bapanya

Berikut adalah nota tazkirah Maghrib yang telah saya sampaikan kepada anak-anak murid yang menyertai perkhemahan unit beruniform di sekolah pada hari Sabtu lepas.

Terjemahan ayat 41-47, Surah Maryam:

41. Ceritakanlah (Wahai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam Al Kitab (Al Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang Nabi.

42. Ingatlah ketika ia berkata kepada bapanya: "Wahai ayahanda, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun?

43. Wahai ayahanda, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus.

44. Wahai ayahanda, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu durhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.

45. Wahai ayahanda, sesungguhnya aku khuatir bahwa kamu akan ditimpa azab dari Tuhan Yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan.

46. Berkata bapanya: "Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan kurejam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama."

47. Berkata Ibrahim: "Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memintakan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku."

Isi penting:
1- Nabi Ibrahim AS diutuskan kepada kaumnya di Iraq yang menyembah berhala.
2- Bapanya bernama Azar, seorang kafir yang turut sama menyembah berhala.

3- Dakwah di Iraq:
a. Peringkat Pertama: kepada bapanya.
b. Peringkat Kedua: kepada kaumnya.
c. Peringkat Ketiga: kepada Raja yang kafir dan zalim.
d. Setelah kaumnya tidak menerima dakwah, baginda memusnahkan berhala, dijatuhkan hukuman dengan dibakar dalam api, tetapi diselamatkan oleh Allah yang menjadikan api itu sejuk.

4- Dakwah di Palestin:
a. Berhijrah ke Palestin bersama Nabi Lut AS.
b. Bersamanya isteri bernama Sarah.
c. Pergi ke Mesir dan bernikah dengan isteri kedua bernama Hajar yang melahirkan Nabi Ismail AS.
d. Allah perintahkan baginda membawa Hajar dan Ismail bersama ke Hijaz.
e. Sarah pula dikurniakan anak bernama Nabi Ishak AS.
f. Membina Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail AS.
g. Kemudian membina Masjid Al-Aqsa di Palestin.
h. Setelah Nabi Ishak AS berkahwin, dikurniakan anak bernama Nabi Yaakub AS.

5- Nabi Ibrahim AS berdakwah menggunakan gaya bahasa yang baik, sopan, tenang, “Wahai ayahanda”.
6- Mohon ampun untuk bapanya sebagai janji jika bapanya memeluk Islam kerana terlalu harapkan bapanya memeluk Islam dan beriman.

Nabi Ibrahim AS dan bapanya pada hari Kiamat

Abu Hurairah RA telah melaporkan daripada Rasulullah SAW, berkata: “Ibrahim berjumpa dengan bapanya Azar pada hari Kiamat, di mana muka Azar berhabuk dan berdebu.”

Maka Ibrahim berkata kepadanya: “Bukankah aku telah katakan kepadamu supaya tidak mengingkariku?”

Maka bapanya menjawab: “Hari ini aku tidak mengingkarimu”

Ibrahim berkata: “Wahai Tuhan, Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak memalukan aku pada hari kebangkitan, dan apakah yang lebih memalukan aku daripada bapa yang dijauhkan (daripada mendapat rahmat syurga)?”

Maka Allah SWT menjawab: “Sesungguhnya Aku telah mengharamkan syurga daripada orang-orang kafir”

Kemudian Allah katakan: “Wahai Ibrahim, lihatlah apa yang ada di antara dua kaki kamu”.

Maka baginda pun melihat adanya seekor anjing yang berbintik-bintik badannya, maka dipegang kakinya dan dicampakkan ke dalam neraka”
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari, no.335)

Ulasan dan Pengajaran:
1- Nabi Ibrahim AS berdakwah kepada ayahnya dengan menggunakan budi bahasa yang tinggi, beradab sopan dan lemah lembut, walaupun ayahnya seorang kafir yang menyembah berhala.

2- Budi bahasa yang tinggi ditunjukkan dalam perkataan "ياأبت" (Wahai ayahanda), bukan menggunakan perkataan "ياأبي" (Wahai ayahku). Perkataan "Wahai ayahanda" lebih hormat dan lebih sopan daripada perkataan "Wahai ayahku". Sepertimana perkataan "يابني" (Wahai anakanda) lebih baik daripada perkataan "ياابني" (Wahai anakku). Sila rujuk tulisan saya yang lepas tentang bagaimana Rasulullah SAW menggunakan perkataan "Wahai anakanda" dalam mendidik.

3- Walaupun ayah baginda membalas ajakannya dengan bahasa yang kasar dan ancaman berbentuk hukuman, tetapi baginda tetap bercakap dengan sopan dan lemah-lembut. Bahkan baginda mendoakan kesejahteraan ayahnya dan berjanji untuk memohon ampun daripada Allah untuk ayahnya jika beriman kepada Allah SWT.

4- Seorang anak wajib berbuat baik kepada ibu bapanya sama ada dari segi percakapan dan perbuatan walaupun ibu bapanya seorang kafir. Walau bagaimanapun, anak tidak boleh mentaati ibu bapanya yang menyuruh kepada membuat maksiat dan melanggar perintah Allah SWT.

5- Jika seorang anak wajib bercakap dengan sopan dan lemah-lembut kepada ibu bapanya yang kafir, apatah lagi kepada ibu bapa yang beriman dan beragama Islam.

Sumber:
Al-Qasas Al-Qurani oleh Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi

0 komen: