Salah satu perkara penting yang kami bincangkan dalam setiap kali mesyuarat KSSR Bahasa Arab di peringkat BPK, KPM ialah memilih istilah dan perkataan Arab (mufradat) yang tepat untuk nama benda, tempat, haiwan, tumbuhan, alam dan sebagainya yang bersesuaian dengan tema-tema yang telah ditentukan dalam KSSR Bahasa Arab.
Antara istilah yang menjadi kemusykilan dan 'perdebatan' ialah istilah yang tepat untuk "kantin" dan "kedai buku". Sudah tentu yang dimaksudkan di sini ialah kantin sekolah dan kedai buku sekolah.
Apabila berlaku kemusykilan seperti ini, maka kami merujuk kepada sumber-sumber yang dipercayai seperti kamus-kamus Arab (contoh: معجم الوسيط), Arab-English, English-Arab (contoh: المورد) dan juga laman-laman web Arab yang berkaitan dengan pendidikan dan sekolah dari negara-negara Arab selain merujuk terus kepada orang Arab (seperti pensyarah Arab di IPTA/IPTS).
Bagi istilah "kantin", berlaku kemusykilan antara perkataan "مطعم" dan "مقصف" di mana perkataan "مطعم" telahpun digunapakai dalam sukatan pelajaran Bahasa Arab KBSR dan KBSM dan popular sejak dahulu lagi.
Apabila dirujuk dalam kamus seperti المورد, perkataan "مطعم" bermaksud "restraunt" manakala perkataan "مقصف" bermaksud "canteen, cafeteria". Jadi, istilah yang lebih tepat untuk kantin ialah "مقصف". Begitulah yang digunapakai oleh sekolah-sekolah di negara-negara Arab.
Walau bagaimanapun, perkataan "مطعم" telahpun digunakan dalam Dokumen Standard Kurikulum (DSK) dan Buku Teks Bahasa Arab Tahun 1 KSSR.
Bagi istilah "kedai buku" pula, perkataan yang telah digunapakai dan popular sejak dahulu lagi ialah "مقصف" sedangkan kita telahpun ketahui makna sebenarnya ialah kantin atau kafeteria. Jadi, setelah dirujuk semula maka perkataan yang lebih tepat untuk kedai buku ialah "دكان المدرسة", dan begitulah juga yang digunapakai oleh sekolah-sekolah di negara-negara Arab.
Apa yang saya paparkan di atas pula hasil pencarian saya sendiri untuk kegunaan sekolah saya yang mempunyai lebih kurang 30 bilik khas dan bangunan. InsyaAllah, pada lain masa, saya akan menceritakan tentang 'kemusykilan' istilah lain pula.
0 komen:
Post a Comment