Friday, August 12, 2011

Transformasi Kurikulum Bahasa Arab (9)

Alhamdulillah, semalam telah selesai satu lagi Mesyuarat Penggubalan Dokumen Standard Kurikulum (DSK) Bahasa Arab Tahun 4 KSSR. Dalam erti kata lain, Transformasi Kurikulum Bahasa Arab mula memasuki Tahap 2.

Seperti yang tertulis dalam DSK Bahasa Arab KSSR, Aspek Bahasa terdiri daripada 4 komponen:
1) Sistem Bunyi
2) Tatabahasa
3) Kata-kata Hikmah
4) Seni Bahasa

Terdapat beberapa persamaan dan perbezaan Aspek Bahasa bagi Tahap 1 dan Tahap 2. Aspek Tatabahasa mula diajar pada Tahun 3 manakala Kata-kata Hikmah bermula pada Tahun 4.

Bagi Tahap 1, Sistem Bunyi yang diajar ialah aspek Huruf Fokus yang terdiri daripada huruf-huruf Hijaiyah yang diagihkan dalam masa 3 tahun. Bagi Seni Bahasa pula, Tahap 1 hanya diajar seni Nasyid, Lakonan, Kalam Jamaie dan Kad Ucapan.

Manakala bagi Tahap 2, dalam mesyuarat kali ini, kami perlu mengenalpasti dan membuat agihan Sistem Bunyi, Tatabahasa, Kata-kata Hikmah, Seni Bahasa dan satu lagi cadangan komponen baru (saya belum boleh nyatakan di sini) bagi Tahun 4, 5 dan 6.

Oleh kerana penggubalan DSK mula memasuki Tahap 2, maka bertambahlah ilmu bahasa dan ilmu pendidikan yang baru saya dapat dalam mesyuarat kali ini. Sebelum ini beberapa kali saya katakan "mesyuarat inilah yang terbaik" atau "mesyuarat ini lebih baik daripada yang lepas". Begitu jugalah yang hendak saya katakan untuk mesyuarat kali ini.

Yang sebenarnya adalah, setiap kali mesyuarat yang baru adalah lebih baik daripada yang sebelumnya, alhamdulillah.

Juga buat pertama kali sejak saya terlibat dalam lebih kurang 10 siri mesyuarat KSSR sebelum ini, mesyuarat turut disertai oleh para wakil guru dari Pantai Timur dan Sarawak. Jazakumullahu khairan kathira atas jalinan ukhuwah dan perkongsian ilmu pada bulan Ramadhan yang mulia lagi diberkati ini.

0 komen: