Alhamdulillah, pada minggu ini selesai satu lagi mesyuarat KSSR Bahasa Arab yang buat julung kalinya diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Saya bersyukur kerana dapat menjalin ukhuwah dengan para wakil pensyarah IPG Kota Bharu dan guru daripada Kelantan dan Terengganu yang mana saya dapat menimba banyak ilmu dan pengalaman daripada mereka.
Mesyuarat kali ini menyambung agenda mesyuarat yang lepas di Ampang dan KL (tiada catatan) iaitu memurnikan pemetaan Dokumen Standard Kurikulum (DSK) dan Modul Rintis Bahasa Arab Tahun 4 KSSR.
Sebelum ini saya ada berkongsi perbincangan dan perdebatan tentang 2 kosa kata yang mengalami perubahan (transformasi) dalam KSSR iaitu "Pensel" (قلم رصاص) dan "Kedai Buku" (دكان المدرسة) yang mana turut saya jelaskan sebab perubahannya kepada guru-guru dalam Kursus Pendedahan KSSR Bahasa Arab Tahun 1 dan 2.
Di sini saya tidak bercadang untuk menyambung penjelasan tentang transformasi beberapa mufradat (kosa kata) lain dalam DSK BA Tahun 1 dan 2. InsyaAllah akan dikongsikan pada lain masa.
Cumanya saya ingin berkongsi penjelasan dan penegasan yang turut dijelaskan oleh Ust Hamdan bin Muda, Penolong Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT) KPM dalam mesyuarat kali ini tentang kaedah dan proses pemilihan, penyemakan dan perubahan beberapa kosa kata dalam KSSR, iaitu:
1- Mesyuarat kurikulum di peringkat KPM tidak sewenangnya memilih perkataan untuk dimasukkan dalam kurikulum. Ia tidak semata-mata bergantung kepada ilmu pengetahuan sedia, ingatan dan pengalaman oleh ahli mesyuarat yang terdiri daripada para pensyarah, pegawai dan guru.
2- Tetapi, ia mestilah dilakukan atas asas ilmiah dan hujah yang kuat dengan merujuk kepada kamus yang muktabar iaitu معجم الوسيط dan المعجم العربي الأساسي selain merujuk terus kepada orang Arab apabila terdapat perselisihan pendapat.
3- Walaupun terdapat beberapa perbezaan penggunaan kosa kata tertentu disebabkan perbezaan negara, adat, budaya dan loghat Arab tetapi pemilihan dilakukan atas dasar أغلبية (banyak penggunaannya).
4- Perubahan kosa kata tidak bermakna kosa kata terdahulu dalam KBSR atau kurikulum yang lain adalah salah, tetapi perubahan ini adalah untuk memilih kosa kata yang lebih sesuai dan lebih tepat dengan pelbagai disiplin ilmu, bidang dan tuntutan zaman. Mungkin kosa kata terdahulu adalah betul dan sesuai pada zaman itu tetapi tidak sesuai lagi pada zaman sekarang.
5- Kepelbagaian latar belakang pendidikan para pensyarah dan guru sama ada lepasan daripada luar negara seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi, Sudan, Moroco atau tempatan seperti UIAM, UM, UKM, USIM haruslah dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencari kata sepakat yang terbaik.
Adalah tidak menghairankan apabila berlaku perubahan 'fatwa' dalam bidang bahasa disebabkan perubahan masa, tempat dan keadaan apabila perubahan fatwa dalam bidang syariah juga berlaku dulu, kini dan selamanya.

0 komen:
Post a Comment