Pertama kali saya dapat mendengar lagu ini ialah ketika saya sekeluarga menghadiri Maher Zain Live In Concert 2011 yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada 26 Februari 2011 lalu.
Tidak disangka sama sekali apabila lagu pertama "Waiting For The Call" yang dinyanyikan oleh Irfan Makki semasa konsert itu terus memukau dan menambat hati para penonton. Malah kesemua ketiga-tiga lagu yang dibawanya (termasuk Mabrouk dan Mamma) sangat menarik sekali. Sejak daripada itu, para peminat ternanti-nantikan pelancaran album pertamanya.
Selepas album beliau dilancarkan di Malaysia pada bulan September lalu, saya terus mendapatkannya tanpa berlengah lagi. Sebelum itu TV Al-Hijrah selalu memainkan video klip lagu tema albumnya iaitu "I Believe" yang dinyanyikan bersama Maher Zain.
Masuk sahaja musim haji 1432 ini sempena bulan Zulhijjah, TV Al-Hijrah menyediakan "Al-Adha Ident" yang menggunakan lagu ini sebagai muzik latarnya. Setiap kali mendengar lagu ini, memang dapat mengingatkan kembali kenangan dan nostalgia paling manis dalam hidup ini ketika diberi peluang oleh Allah SWT sebagai tetamuNya untuk menunaikan ibadah Umrah dan Haji dari Jordan.
Sebab itulah mereka yang sudah mengerjakan Umrah atau Haji akan sentiasa merindui untuk kembali ke tanah suci lagi. Kemudahan menonton siaran langsung ibadah Haji melalui internet tidak dapat menggantikan pengalaman indah di tanah suci bahkan ia menambahkan lagi rasa rindu dan cemburu di hati ini.
Sesungguhnya Engkau Ya Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui hajat kami ini. Terimalah kami sebagai tetamuMu lagi. O Allah! I am waiting for the call..
0 komen:
Post a Comment