Pada minggu ini saya menerima satu kajian soal selidik daripada seorang pelajar sebuah IPTA. Sebelum ini saya juga pernah menerima soal selidik daripada dua pelajar Sarjana:
Manakala Soal Selidik ini pula bertujuan untuk mengetahui perkembangan sistem pengajaran Bahasa Arab dalam program j-QAF. Berikut adalah soalan-soalannya dan jawapan spontan saya:
1. Sejauh manakah anda faham mengenai konsep kurikulum?
Kurikulum ialah suatu metodologi pendidikan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran, nilai, kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
2. Apakah yang anda faham tentang J-QAF?
j-QAF ialah suatu program yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan bagi memperkasakan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan yang terdiri daripada empat komponen asas iaitu Pemulihan Jawi, Khatam Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain.
3. Kenapa anda memilih program J-QAF?
Saya memilih program j-QAF kerana ingin berkhidmat bagi memperkasakan dan memartabatkan lagi Pendidikan Islam dalam mendidik anak-anak orang Islam supaya mereka dapat menguasai kemahiran asas sebagaimana yang telah ditetapkan dalam objektif dan matlamat program j-QAF.
4. Bagaimanakah program J-QAF boleh menjadi platfom untuk system pendidikan Bahasa Arab di Malaysia?
Program j-QAF dapat menjadi platform asas untuk sistem pendidikan Bahasa Arab kerana pada asasnya ia dijadikan mata pelajaran wajib bagi murid Islam di mana sebelumnya ia hanya merupakan mata pelajaran tambahan (pilihan) sahaja.
5. Apakah alat bantuan mengajar yang digunakan sewaktu J-QAF mula ditubuhkan dan sekarang?
Alat (ABM) atau Bahan Bantu Mengajar (BBM) telah dapat dipelbagaikan dan ditambah seperti kad imbasan, carta, CD/VCD, permainan Jawi dan Arab. Manakala Buku Iqra’ dan Mushaf Al-Quran telah diagihkan kepada setiap sekolah oleh pihak KPM.
6. Silibus Bahasa Arab yang diperkenalkan oleh kerajaan amat bersesuaian dengan pelajar. Berikan pendapat anda.
Kurikulum Bahasa Arab dalam KBSR telah mengalami beberapa perubahan bagi tujuan penambaikan supaya sesuai dengan peruntukan waktu pembelajaran (2 waktu seminggu). Dalam Bahasa Arab KSSR pula waktu ditambah kepada 3 waktu seminggu dan beberapa elemen tambahan telah diperkenalkan supaya pembelajaran lebih menyeronokkan murid dan lebih berupaya mencapai objektif dan matlamat pembelajaran Bahasa Arab di sekolah rendah.
7. Adakah anda menggunakan bahan rujukan lain sebelum atau semasa sesi pengajaran dan pembelajaran? Nyatakan bahan rujukan tersebut.
Kamus j-QAF, Kamus Bergambar dan bahan-bahan lain yang sesuai daripada internet. Perkongsian pintar bersama rakan-rakan guru dan individu berkaitan melalui emel, blog dan Facebook sangat membantu P&P.
8. Berikan contoh alat bantuan mengajar terkini yang digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Komputer (Laptop) dan LCD.
9. Apakah cara yang digunakan bagi menarik minat pelajar untuk mempelajari Bahasa Arab?
Bagi murid sekolah rendah, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran berdasarkan konsep “didik hibur” melalui pelbagai aktiviti seperti nyanyian, permainan bahasa, perbualan, lakonan dan sebagainya.
10. Adakah cara pengajaran yang digunakan mempunyai kemajuan dari program J-QAF ditubuhkan sehingga sekarang?
Sebenarnya cara pengajaran adalah berdasarkan kreativiti dan inovasi oleh guru itu sendiri dan kurikulum hanya membantu memberikan beberapa cadangan dan panduan pengajaran untuk guru. Jadi, kemajuan mata pelajaran Bahasa Arab sama ada sebelum atau selepas program j-QAF dilaksanakan adalah bergantung kepada sejauh mana guru mengikuti kurikulum yang telah ditetapkan selain usaha sendiri.
11. Sejauh manakah kejayaan J-QAF dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab?
Sebenarnya P&P Bahasa Arab adalah berdasarkan kandungan KBSR dan KSSR manakala program j-QAF membantu dalam memartabatkan lagi mata pelajaran ini khususnya dari segi peruntukan kewangan dan kepelbagaian alat dan bahan bantu mengajar.
12. Berikan cadangan anda untuk memperbaiki kualiti program J-QAF dari segi alat bantuan mengajar, silibus, rujukan dan kaedah pengajaran.
- Alat/Bahan Bantu Mengajar: Perlu diperbanyakkan dan dipelbagaikan
- Silibus: Berdasarkan KBSR dan KSSR (bermula 2011) yang telah ditetapkan oleh KPM.
- Rujukan: Guru perlu berusaha sendiri untuk mencari pelbagai rujukan dari internet, terutamanya dari negara-negara Arab untuk diubahsuai dan disesuaikan untuk murid Malaysia.
- Kaedah pengajaran: Selain cadangan dan panduan yang telah disediakan dalam KBSR dan KSSR, guru perlu berusaha meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan pembelajaran murid.
Soal selidik ini diberikan kepada saya dan tugas saya hanyalah menjawabnya. Walau bagaimanapun, saya melihat ada beberapa ketidaktepatan dalam soalan-soalan tersebut akibat tersilap faham atau kurang faham tentang konsep j-QAF dan peranan mata pelajaran Bahasa Arab dalam program tersebut.
Dalam program j-QAF, model Bahasa Arab dinamakan sebagai Model Perluasan Bahasa Arab iaitu mata pelajaran Bahasa Arab KBSR ini dijadikan mata pelajaran wajib bagi murid Islam dan pilihan bagi murid bukan Islam, di mana sebelum j-QAF diadakan, Bahasa Arab hanyalah mata pelajaran pilihan bagi murid Islam.
Itulah sahaja peranan j-QAF dalam mata pelajaran Bahasa Arab. Manakala segala isi kandungan dan kaedah P&P mata pelajaran ini adalah sama sepertimana sebelum adanya program j-QAF kerana ia adalah satu mata pelajaran yang berdasarkan KBSR.
Tidak seperti model Pemulihan Jawi, Khatam Al-Quran dan Fardhu Ain (Kem Bestari Solat) di mana semua model ini merupakan elemen tambahan kepada isi kandungan mata pelajaran Pendidikan Islam. Ia hanya mengubah Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) tetapi mengekalkan Sukatan Pelajaran (SP), Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) dan isi kandungan Buku Teks berdasarkan KBSR.

