Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan untuk menghadiri Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh ustaz yang paling popular dan hangat masa kini iaitu Ustaz Azhar Idrus di Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Sebelum ini saya hanya dapat mengikuti kuliah-kuliah beliau melalui Youtube sahaja, manakala hajat untuk hadir kuliah beliau yang paling meriah pada bulan lepas di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam pula tidak kesampaian.
Seperti di tempat-tempat lain, jumlah kereta memenuhi kiri dan kanan jalan raya sehingga jarak 1km dari masjid. Manakala para jemaah memenuhi ruang dalam dan luar masjid yang telah disediakan kemudahan khemah, tikar dan skrin LCD.
Apa yang penting ialah niat kita menghadiri majlis ilmu sebegini adalah untuk mencari keredhaan Allah, mendidik jiwa dengan merasakan kita sentiasa kekurangan ilmu dan menyucikan hati kita dengan mendengar pelbagai nasihat dan peringatan daripada Allah dan RasulNya melalui para ilmuan seperti ini.
Juga kita sebagai seorang Muslim mestilah saling menyokong segala usaha dakwah oleh mana-mana pihak sama ada secara kumpulan ataupun individu. Bukan saling mengadu-domba, menghasut, memfitnah dan memperlekeh usaha baik sesama Islam.
Antara isi penting kuliah beliau ialah:
1- Kita sebagai manusia wajib beriman dengan Allah Yang Maha Sempurna nama dan sifatNya. Manakala kita sebagai manusia adalah berlawanan dengan Allah iaitu kita bersifat dengan segala kekurangan, kecacatan, kelemahan dan kesilapan kerana Allah tidak sekali-kali sama dengan makhlukNya.
2- Allah itu Maha Melihat, Mendengar manakala kita sebagai manusia sebenarnya buta, pekak dan bisu sebagaimana asal kejadian kita semasa kelahiran dan kematian. Kita dilahirkan cacat dan dimatikan juga dalam keadaan cacat.
3- Walaupun kita boleh melihat, mendengar dan sebagainya tetapi ia tetap terbatas malah dari segi ini manusia kalah dengan binatang. Penglihatan burung lebih hebat dari manusia, pendengaran serigala lebih hebat daripada manusia dan seekor kucing berlari lebih pantas daripada manusia.
4- Tetapi kelebihan manusia adalah kerana dikurniakan akal untuk berfikir. Oleh sebab itu, manusia yang tidak menggunakan akalnya ke arah kebenaran adalah lebih teruk daripada binatang.
5- Oleh sebab manusia bersifat dengan segala kekurangan dan kelemahan, maka tiada sebab untuk kita berlawan dengan Allah Yang Maha Sempurna dan bersikap bangga diri dan sombong sesama manusia.
0 komen:
Post a Comment