Banyak persoalan dan kemusykilan tentang pelaksanaan PBS saya lihat melalui perbincangan para guru sama ada di alam nyata atau di alam maya, terutamanya tentang Instrumen PBS dan Pengurusan Evidens. Sebenarnya segala persoalan tersebut telahpun dijawab oleh pihak Lembaga Peperiksaan dalam buku Pengurusan dan Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Mungkin antara faktor penyebab terjadinya kepelbagaian 'mazhab' pendapat dan pandangan tentang perkara ini adalah kerana tidak membaca dan memahami PBS seperti yang terdapat dalam slaid pembentangan Kursus Pendedahan KSSR & PBS Tahun 2 (tahun lepas) dan buku panduan ini.
Sehingga terjadilah ada sebahagian guru yang percaya bahawa Contoh Instrumen PBS yang dibekalkan semasa kursus tersebut mestilah diriso atau difotostat sepenuhnya untuk setiap murid. Kemudian, dibukukan pula instrumen yang 'tebal' itu. Maka berlakulah lambakan dan penggunaan kertas yang sangat banyak seterusnya membebankan bajet sekolah dan guru.
Sedangkan Contoh Instrumen PBS yang dibekalkan ini hanyalah SALAH SATU daripada pelbagai bentuk instrumen pentaksiran yang boleh dilaksanakan oleh guru iaitu contoh ini hanyalah dalam bentuk LEMBARAN KERJA. Ia dinamakan "Contoh" kerana ia boleh diedit dan diubahsuai oleh guru bagi menepati konsep Pentaksiran Sekolah, bukan Pentaksiran Pusat.
Selain itu, guru boleh menggunakan pelbagai instrumen lain seperti buku teks, buku aktiviti/kerja, buku tulis, demonstrasi, kuiz, soal jawab dan sebagainya. Bagi saya, instrumen dalam bentuk selain Lembaran Kerja tidak perlu dimasukkan ke dalam Fail Evidens (Fail Perkembangan Murid) kerana mustahil untuk memasukkan semua buku aktiviti, buku tulis, projek bagi setiap subjek ke dalam satu fail.
Saya tidak setuju dengan pandangan yang mengatakan guru perlu fotostat evidens dalam buku aktiviti/buku tulis kemudian dimasukkan dalam Fail
Perkembangan Murid kerana cara ini juga membebankan bajet dan tugas guru. Tetapi cara ini boleh digunakan untuk Fail Showcase kerana guru hanya perlu fotostat evidens terbaik sahaja bagi setiap subjek.
Sebagai contoh, bagi modul Bahasa Arab, guru hanya perlu riso contoh instrumen PBS bagi Kemahiran Menulis sahaja bagi setiap murid. Manakala untuk Kemahiran Mendengar, Bertutur dan Membaca guru hanya perlu menggunakan contoh instrumen yang dibekalkan dan kemudian catatan atau laporan pencapaian murid tersebut boleh diisi dalam Borang PBS sebagai evidens.
Setelah pencapaian murid direkodkan dalam SPPBS maka segala evidens dalam Fail Perkembangan Murid itu hendaklah ditunjukkan kepada ibu bapa/murid bersama laporan prestasi yang telah dicetak.


2 komen:
Saya juga amat bersetuju dengan pandangan En. Nazri.Cuma saya nak kongsi pandangan pihak pentadbir di sekolah saya yang mengatakan murid ting 1 masih perlu ujian dan peperiksaan sebagai back up krn mrk berpendapat PBS ni masih samar2.saya krg bersetuju krn dasar baru ini adalah kehendak LPM/KPM.kenapa tak ikut sahaja.kalau ada ujian/exam x mencapai hasrat LPM yang mahu mengubah kaedah exam oriented di sek.
Sekolah cikgu Alia terpilih untuk rintis PBS Tingkatan 1 tahun 2012 ye?
Kalau tak silap saya, tahun 2012 PBS baru bermula secara rintis di sekolah2 terpilih sahaja, PBS belum menyeluruh kepada SEMUA sekolah.
Samalah dengan apa yang berlaku kepada murid2 Tahun 1 2011 yang lepas, ujian/peperiksaan pertengahan/akhir tetap dijalankan sebab PBS baru dilancarkan pada masa itu dan kursus pelaksanaan PBS belum menyeluruh kepada semua guru Tahun 1.
Jadi, adalah lebih baik ujian/peperiksaan diteruskan sebagai 'backup' kepada PBS yang masih berstatus 'mode standby'. Lagipun, kertas ujian/peperiksaan boleh juga digunakan sebagai instrumen dan evidens untuk PBS.
Post a Comment