Kredit gambar: Blog Cikgu Norlaila Othman
Saya tidak pasti bagaimana untuk memulakan catatan kali ini walaupun pada awalnya saya merancang untuk menulisnya secara ringkas sahaja. Mungkin disebabkan oleh fikiran saya asyik teringatkan kenangan manis bersama Allahyarham Ustaz Abdul Rahim Lakasauk, guru di Sekolah Rendah Islam Al-Amin KL semasa saya bersekolah di sana pada tahun 1986-1988.
Seingat saya, beliau merupakan guru Bahasa Arab saya yang pertama. Selain itu, sepertimana semua guru lain di SRI Al-Amin, tugas utama mereka adalah mendidik kami dengan Pendidikan Islam yang syumul. Bermula dari perhimpunan pagi dengan Asmaul Husna, memulakan pembelajaran dengan tilawah dan hafazan Al-Quran, adab makan dan minum ketika rehat (dulu kami makan berjemaah dalam kumpulan menggunakan talam), latihan solat Dhuha dan Zuhur berjemaah dengan tugasan imam dan bilal dan sebagainya.
Tempoh yang singkat bersama ustaz di SRI Al-Amin menyukarkan saya bercerita panjang. Apa yang penting, saya dan kawan-kawan senang hati dengan peribadinya, cara dan gaya ustaz mendidik kami.
Episod terakhir saya bersama beliau bermula apabila 2 minggu lepas saya baru mendapat tahu melalui Facebook bahawa ustaz sedang uzur di rumahnya kerana mengalami sakit kanser lidah peringkat akhir. Lantas, saya terus berniat untuk menziarahi beliau dan berdoa kepada Allah supaya mengizinkan pertemuan yang barangkali terakhir saya bersama beliau.
Alhamdulillah, kebetulan saya ada mesyuarat KSSR Bahasa Arab di Hotel De Palma, Ampang maka saya mengambil kesempatan untuk menziarahi beliau di Taman Keramat, hanya beberapa ratus meter dari SK (2) Taman Keramat, tempat saya mula bertugas sebagai guru j-QAF selama 6 tahun.
Perasaan saya antara gembira dan sedih. Gembira dengan pertemuan ini tetapi sedih kerana tidak dapat bersembang mesra kerana keadaannya. Saya cuma dapat bersembang lama dengan seorang anak lelakinya yang juga penuntut tahun akhir jurusan Syariah di Universiti Al-Azhar.
Sehinggalah pada petang 10 Mac 2012, ketika saya sedang menunggu doktor memeriksa isteri untuk bersalin, saya menerima SMS yang mendukacitakan daripada sahabat:
"Ust rahim dh meninggal td, innalillah. Jenazah jangka kebumi b4 magrib di keramat (dkt dgn msjd ansar)"
Dengan berat hati saya terpaksa memaklumkan saya tidak dapat ke sana. Jadinya, pada tarikh itu saya tidak boleh terlalu sedih kerana kematian ustaz dan tidak terlalu gembira kerana kelahiran anak saya.
Jasa dan pengorbanan ustaz mendidik saya tidak ternilai harganya. Kenangan manis belajar dengan ustaz tidak mungkin dapat dilupakan. Semoga Allah mengampuni dan merahmati ustaz..
Bacaan lain:




